Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

RSN semakin manfaatkan AI, teknologi tanpa pemandu dalam operasi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data semakin digunakan dalam operasi Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), kata panglima tentera lautnya yang baru dilantik.

Ini sedang beliau menggesa golongan muda yang celik digital untuk membantu "membawa tentera laut memacu ke arah masa depan".

Laksamana Muda (RAdm) Sean Wat Jianwen, yang dilantik sebagai Panglima Tentera Laut pada 10 Mac lalu, berkata bahawa AI memainkan peranan yang aktif dalam operasi barisan hadapan harian "untuk mengenal pasti secara berkesan penceroboh berpotensi dari darat dan laut menerusi sistem pemantauan kami".

Teknologi tanpa pemandu juga boleh membantu Singapura mengatasi keterbatasan tenaga manusia, tambahnya.

Namun demikian, ia tidak boleh mengambil alih fungsi teras manusia seperti kepimpinan dan membuat keputusan yang sukar.

Lantaran itu, selain mengikuti kemajuan teknologi dan perkakasan, RSN juga akan memberi tumpuan kepada membangunkan kemahiran dan kepakaran.

RAdm Wat berkata demikian dalam wawancara bertulis kepada media pada Selasa (2 Mei), menjelang Pameran dan Sidang Pertahanan Maritim Antarabangsa (Imdex) Asia 2023 yang berlangsung dari 3 sehingga 5 Mei.

Dalam wawancara tersebut, beliau memberi contoh bagaimana RSN, sebagai sebuah angkatan laut yang "kecil", terus melalui perubahan dan memanfaatkan teknologi baru demi mencapai misinya dengan lebih baik.

Berhubung peranan yang dimainkan AI, beliau berkata: "Di atas kapal, kami juga telah melakukan uji kaji dengan analisis data untuk membantu dalam penyenggaraan luar jangka demi membantu jurutera kami memastikan kesiapsiagaan operasi platform kami."

Menggabungkan teknologi sedemikian "akan menjadi pendaya utama bagi tentera laut kami" dan lantaran itu, adalah penting untuk bersikap terbuka berhubung pendakapan dan pelaksanaannya, tambah beliau.

Penggunaan teknologi juga boleh diterokai sedang RSN menyuntik kesegaran kepada asetnya.

RSN juga melakukan pelaburan yang besar dalam memastikan latihan yang "menyeluruh dan teguh" tetapi selamat bagi kelasinya, kata RADM Wat.

Menyentuh tentang memanfaatkan teknologi tanpa pemandu, panglima tentera laut itu berkata bahawa ia "berpotensi melepaskan kami daripada kekangan disebabkan kadar kelahiran yang merosot" dan "membolehkan kami untuk melaksanakan operasi yang lebih berisiko tanpa meletakkan kelasi kami dalam bahaya".

Pada tahap yang lebih meluas, RSN akan meneruskan amalan yang dilakukan sejak sekian lama untuk mengambil bahagian dalam latihan tentera dua hala dan berbilang hala bersama negara-negara lain.

Acara seperti Imdex Asia, yang memasuki edisinya yang ke-13 tahun ini, dan Sidang Keselamatan Maritim Antarabangsa yang diadakan bersempena dengannya, juga menyumbang kepada usaha membina kepercayaan menerusi dialog, tambah beliau.

Semua usaha sedemikian penting dalam memastikan RSN bersiap siaga dalam menangani cabaran maritim yang berubah-ubah.

GOLONGAN MUDA CELIK DIGITAL 'DALAM KEDUDUKAN BAIK' KEMUDI TENTERA LAUT

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, RAdm Wat berkata individu yang "cekap dan komited" akan masih diperlukan untuk menerajui perubahan RSN, di samping penggunaan teknologi bagi mengatasi keperluan tenaga manusia.

"Sebagai golongan yang membesar dengan digital, belia hari ini dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan teknologi yang semakin berkembang maju untuk membantu Tentera Laut menongkah masa hadapan."
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan