Rosmah tiada kaitan dengan 1MDB, menurut peguam
Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor tiada kaitan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut satu kenyataan para peguamnya.
Datin Seri Rosmah Mansor. (Gambar: SAEED KHAN / AFP)
KUALA LUMPUR: Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor tiada kaitan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ini menurut kenyataan peguam K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent, yang dilaporkan Astro Awani.
Dalam kenyataan tersebut mereka turut berkata Cik Rosmah langsung tidak terlibat dalam operasi syarikat berkenaan.
"Kami telah meneliti perkara-perkara yang dilaporkan dalam Wall Street Journal (WSJ), yang memetik sumber mendakwa bahawa Rosmah adalah individu utama dalam dakwaan penyelewengan kewangan 1MDB."
"Kami ingin ulangi, bahawa anak guam kami tidak mempunyai kaitan atau peranan langsung dan tidak langsung dalam operasi harian syarikat tersebut, lebih-lebih lagi hal pengurusan kewangannya atau mereka yang dilantik mengawasi firma itu," kata mereka dalam satu kenyataan mewakili Cik Rosmah, seperti dinukil Astro Awani.
Menurut mereka, Cik Rosmah juga langsung tidak terlibat dalam sebarang keputusan yang dibuat Najib Razak ketika memegang jawatan Perdana Menteri.
"Sebagai isteri seorang perdana menteri ketika itu, Rosmah menjarakkan diri daripada perkara-perkara yang ditangani oleh Najib dan beliau tidak pernah pada bila-bila masa pun mempengaruhi sebarang keputusan oleh pihak eksekutif.
"Oleh itu, dengan mengaitkan Rosmah terus kepada 1MDB dan menimbulkan tuduhan terhadapnya, kami bimbang ia adalah satu usaha untuk mempengaruhi hasil siasatan yang sedang dijalankan dan paling teruk untuk merosakkan imej Rosmah," katanya.
Menurut Astro Awani, kenyataan tersebut menambah bahawa Cik Rosmah akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat isu tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.