Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rosmah Mansor tidak bertanggungjawab atas 43 barang kemas hilang

Anggaran Waktu Membaca:
Rosmah Mansor tidak bertanggungjawab atas 43 barang kemas hilang

Rosmah Mansor, isteri mantan Perdana Menteri Najib Razak. (Gambar fail: Bernama)

KUALA LUMPUR: "Saya tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kehilangan 43 barang kemas itu kerana ia sudah diambil oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia)," kata Rosmah Mansor menerusi pernyataan tuntutan pembelaan yang difailkan Tetuan Eza Rahim dan Rajivan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lupum pada Selasa (6 Jun).

Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia itu berkata demikian bagi menjawab saman kali kedua yang difailkan Global Royalty Trading SAL terhadapnya pada 29 Mac lalu, berhubung tuntutan bagi mendapatkan semula 43 barang kemas.

Isteri Najib Razak mendakwa, jelas bahawa barangan kemas tersebut sudah diambil PDRM atau Kerajaan Malaysia melalui suatu operasi serbuan.

Beliau selaku defendan berkata, jika ia hilang maka pihak polis dan Kerajaan yang perlu menanggung kerugian syarikat barang kemas dari Lubnan itu selaku plaintif.

"Saya menegaskan bahawa kenyataan bahawa barang-barang kemas tersebut telah diambil oleh pihak polis dan Kerajaan Malaysia adalah bermerit kerana satu daripada barangan kemas telah dijumpai dalam milikan mereka."

"Saya juga menegaskan bahawa semua barangan kemas terbabit disimpan di tempat yang sama dan kemudian disita dan diambil oleh mereka."

"Umum tahu bahawa semua harta bernilai milik saya dan keluarga telah dirampas jadi, ia tidak mungkin saya boleh menyimpan barang kemas bernilai jutaan ringgit tersebut, malah ketika waktu berkenaan, saya tidak dibenarkan untuk keluar negara," katanya.

Selain itu, Rosmah menafikan meminta barangan kemas seperti yang didakwa Global Royalty, lapor Astro Awani.

Beliau menegaskan, barang kemas berkenaan yang diserahkan kepadanya adalah bagi manfaat dan keuntungan syarikat terbabit bagi menarik publisiti dan kredibiliti dalam kalangan pembeli.

Katanya, ketika itu beliau merupakan isteri seorang Perdana Menteri, maka plaintif inginkan publisiti berhubung produk dan ingin dirinya menjadi pelanggan mereka.

Oleh yang demikian, Rosmah berkata, barang kemas diserahkan kepadanya untuk dilihat atas kehendak dan kerelaan plaintif, tanpa ada kewajipan baginya untuk membeli.

“Terdapat klausa yang wujud dalam memorandum bertarikh 22 Mei 2018 (yang dirujuk plaintif sebagai Nota Konsainan) dengan jelas menyatakan ia dihantar untuk dilihat dan diperiksa oleh saya."

"Sekiranya berminat, maka satu perjanjian penjualan secara berasingan akan dikeluarkan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa, semua langkah yang munasabah dan berhemah untuk menjaga keselamatan barangan tersebut diambil dan akan membutirkan ciri-ciri keselamatan itu semasa perbicaraan kelak, seperti dipetik laporan Astro Awani.

Maka katanya, defendan tidak boleh dipertanggungjawabkan dengan kehilangan barangan kemas dan memohon kepada mahkamah supaya menolak tuntutan plaintif dengan kos atas dasar tanggung rugi penuh.

Pada 26 Jun 2018, Global Royalty Trading SAL menyaman Rosmah selaku defendan dan menuntutnya memulangkan 44 barang kemas yang dihantar untuk dipilih atau membayar harga semua barangan kemas berkenaan berjumlah AS$14.79 juta (S$19.9 juta).

Syarikat tersebut mendakwa Rosmah berbohong bahawa barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepadanya, dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis, menurut Astro Awani.

Pada 28 Ogos 2019, Kerajaan Malaysia mengesahkan melalui Afidavit Jawapan yang diikrarkan oleh Superintenden Polis G/15177 Foo Wei Min (yang difailkan dalam guaman sivil tersebut) bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas yang berada dalam simpanan Polis Diraja Malaysia.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan