Skip to main content

Dunia

Rosmah Mansor mohon dapatkan sementara pasport untuk ke SG

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor sekali lagi mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi mendapatkan pelepasan sementara pasport untuk melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Mohd Najib yang dijangka melahirkan anak ketiga hujung bulan ini.

Rosmah selaku pemohon memfailkan notis usul itu pada 11 Ogos lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co. bagi membolehkannya melawat Nooryana Najwa yang dijangka bersalin pada 28 Ogos ini serta keluarganya di Singapura.

Permohonan untuk mendapatkan pasport akan didengar pada Khamis (16 Ogos).

Dalam notis itu, isteri kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak itu berkata beliau akan ke Singapura pada 18 hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September hingga 31 Oktober ini.

Menurut Rosmah, beliau akan pulang ke Malaysia untuk menghadiri prosiding rayuan kes rasuah membabitkan projek hibrid solar. 

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 18 September ini untuk pengurusan kes.

Menurut Rosmah, sehingga hari Rabu, beliau tidak pernah gagal atau cuai untuk hadir ke mahkamah bagi sebutan dan perbicaraan tanpa sebab atau alasan yang munasabah.

Ini adalah kali keempat Rosmah memohon untuk mendapatkan pelepasan pasport antarabangsa untuk ke Singapura, kali pertama pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana Najwa yang melahirkan anak keduanya, pada 21 Mac lalu untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat, dan pada 15 Jun bagi melawat anak perempuannya itu.

Cik Nooryana Najwa berkahwin dengan warga Kazakhstan, Daniyar Kessikbaye dan pasangan itu kini menetap di Singapura. 

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi Malaysia menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta (S$280 juta) terhadap Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion (S$372 juta) untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah, 71 tahun, dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan. 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita