Rosmah Mansor fail saman fitnah terhadap pelawak Harith Iskander
Rosmah Mansor, isteri mantan PM Malaysia Najib Razak, fail tuntutan saman terhadap pelawak Harith Iskander. (Gambar: CNA/Fadza Ishak, Comedy Club Asia)
Dalam samannya yang difailkan pada bulan Jun, Cik Rosmah mendakwa bahawa Harith telah membandingkan dirinya dengan watak seram semasa satu persembahan komedi pada Januari tahun ini.
Sedutan klip video persembahan Harith sebelum ini tular di platform media sosial TikTok dan meraih beribu-ribu tontonan.
Cik Rosmah dalam pernyataan tuntutannya berkata: "Defendan (Harith) membuat kenyataan yang membawa maksud bahawa jika seseorang melihat cermin pandang belakang semasa memandu di jalan yang gelap, mereka akan melihat sesuatu yang menakutkan.
"Selepas itu, defendan menunjukkan gambar saya kepada penonton, yang jelas menggambarkan diri saya sebagai sesuatu yang mengerikan."
Beliau menambah bahawa kenyataan berbaur fitnah itu bertujuan untuk "mencemarkan reputasi dan kedudukannya sebagai seorang tokoh awam, isteri kepada perdana menteri Malaysia yang keenam, penaung pelbagai badan kebajikan dan persatuan, serta seorang individu yang telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di dalam mahupun luar negara".
Oleh itu, Cik Rosmah menuntut ganti rugi, perintah injunksi untuk menghalang penerbitan semula dan pengedaran "kenyataan fitnah tersebut", serta permohonan maaf.
Harith pula menafikan mempunyai sebarang niat jahat dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 9 Julai.
Beliau seterusnya mendakwa bahawa catatan di TikTok itu diterbitkan tanpa pengetahuan atau kebenarannya, dan ia tidak mencerminkan konteks penuh persembahan komedinya itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.