Skip to main content

Dunia

Rosmah Mansor disaman atas kehilangan 43 barang kemas bernilai AS$14.57 juta

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pemborong barang kemas di Lubnan memfailkan saman terhadap Rosmah Mansor bagi menuntut AS$14.57 juta (S$19.4 juta), atas dakwaan melanggar kontrak berhubung kehilangan 43 barang kemas kepunyaan syarikat itu yang diserahkan kepadanya, lima tahun lalu.

Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Beirut, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham dan Koay di Mahkamah Tinggi pada 29 Mac lalu dengan menamakan isteri kepada mantan Perdana Menteri Najib Razak itu, selaku defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, Global Royalty mendakwa Rosmah, 71 tahun, telah berbohong dalam afidavit dan pembelaannya dengan menyatakan bahawa 44 unit barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepada defendan telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.

"Oleh itu, defendan telah gagal dan cuai untuk memulangkan kepada plaintif baki 43 barang kemas berjumlah AS$14.57 juta (S$19.4 juta) kepunyaan plaintif yang telah diserahkan kepada defendan pada 10 Feb 2018," dakwa Global Royalty menerusi pernyataan tuntutannya.

Menurut plaintif, berdasarkan Surat Aku Janji yang ditandatangani oleh Rosmah bertarikh 22 Mei 2018, beliau mengakui bahawa barang kemas itu berada dalam simpanannya dan kemudian disita oleh Kerajaan Malaysia.

"Bagaimanapun dalam usaha syarikat untuk mendapatkan semula 44 barang kemas daripada Kerajaan, hanya satu daripada 44 barang kemas dapat dikenal pasti dan diambil semula oleh wakil yang dilantik oleh plaintif daripada kerajaan," kata plaintif dan memaklumkan bahawa barang kemas itu adalah Diamond Emerald Bracelet.

Global Royalty menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan defendan untuk menyimpan dan menjaga kesemua barang kemas itu dengan baik serta bertanggungjawab terhadap keselamatan barang kemas berkenaan.

Bagaimanapun plaintif mendakwa defendan telah memperdayakan plaintif dengan mengalihkan beban kepada Kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

"Oleh itu, defendan perlu bertanggungjawab untuk menanggung kerugian atas kehilangan 43 barangan kemas itu dan plaintif mempunyai hak menuntut ganti rugi," menurut syarikat terbabit.

Syarikat itu memohon perintah mandatori supaya barang kemas itu dipulangkan kepada plaintif dalam keadaan baik bagi tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman dan sekiranya ia tidak dapat dikembalikan, defendan bertanggungjawab untuk membayar kepada plaintif kos barang kemas berjumlah AS$14,567,270 (S$19,390,566) selain memohon faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam David Gurupatham, yang mewakili Global Royalty mengesahkan mengenai pemfailan saman itu.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita