Rosmah Mansor didakwa terima rasuah RM5 juta
Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor, didakwa sekali lagi hari ini (10 Apr) atas satu pertuduhan baru menerima rasuah RM5 juta (S$1.6 juta) daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd sebagai upah mendapatkan projek sistem solar pada tiga tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Isteri mantan Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor, didakwa sekali lagi hari ini (10 Apr) atas satu pertuduhan baru menerima rasuah RM5 juta (S$1.6 juta) daripada Syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd sebagai upah mendapatkan projek sistem solar pada tiga tahun lalu.
Ini merupakan pendakwaan kali ketiga terhadap Rosmah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Rosmah tiba pada jam 8.40 pagi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dengan ditemani anak lelakinya, Mohd Ashman Mohd Najib, serta penjamin dan pegawainya.
Wanita berusia 68 tahun itu mengaku tidak bersalah dan berkata “minta bicara” setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Pertuduhan baru itu sekali gus menjadikan keseluruhan pertuduhan yang dihadapi Rosmah kini berjumlah 20 - 12 pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, lima pertuduhan atas kegagalan mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) manakala dua lagi pertuduhan meminta serta menerima rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sebuah sekolah luar bandar di Sarawak.
Berdasarkan pertuduhan baru itu, Rosmah didakwa menerima satu suapan wang tunai berjumlah RM5 juta daripada seorang individu, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor, 45, sebagai upah kerana telah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek yang dikenali sebagai “Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan.
Ini di samping membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, bernilai RM1.25 bilion (S$412,900), secara rundingan terus bersama Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur pada 20 Disember 2016.
Jika sabit kesalahan, Rosmah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu - jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang - atau RM10,000 (S$3,303), mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menawarkan wang jaminan RM1 juta (S$330,306) dengan seorang penjamin. Ini setelah mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius serta pertuduhan memperuntukkan hukuman yang tinggi selain Rosmah ketika kejadian itu merupakan isteri kepada seorang perdana menteri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.