Skip to main content

Dunia

Rosmah Mansor bebas 12 tuduhan ubah wang haram bernilai lebih RM7 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Rosmah Mansor bebas 12 tuduhan ubah wang haram bernilai lebih RM7 juta

Rosmah Mansor. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Dec 2024 11:08AM
KUALA LUMPUR: Isteri mantan Perdana Menteri, Rosmah Mansor dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di pada Khamis (19 Dis) atas 12 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Cik Rosmah, 73 tahun, untuk membatalkan semua kes itu.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram, Cik Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Bagi tuduhan berkaitan LHDN, Cik Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.

Cik Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Selain perbicaraan itu, Cik Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Sumber : Agensi berita/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita