Skip to main content

Dunia

Rosmah lantik peguam baru bagi kes rasuah projek solar

Isteri mantan Perdana Menteri Rosmah Mansor yang menghadapi pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM1.5 juta (S$490,000) berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, melantik peguam baru bagi mewakilinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Rosmah lantik peguam baru bagi kes rasuah projek solar

Rosmah Mansor hadir di mahkamah pada 10 Dis bagi sebutan kesnya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Dec 2018 12:42PM Dikemas Kini : 10 Dec 2018 12:50PM

KUALA LUMPUR: Isteri mantan Perdana Menteri Rosmah Mansor yang menghadapi pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM1.5 juta (S$490,000) berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, melantik peguam baru bagi mewakilinya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan demikian ketika kes itu disebut semula di hadapan Hakim Azman Ahmad yang turut dihadiri peguam, Encik Akberdin Abdul Kader dan Encik Jagjit Singh yang baru dilantik mewakili Cik Rosmah.

“Saya sudah dimaklumkan, barisan peguam bela yang mewakili Datin Seri Rosmah sudah bertukar, barisan peguam bela (yang baru) memohon untuk melihat dokumen (berkaitan kes) dahulu, sebelum sebutan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” kata Encik Ahmad Akram.

Sebelum ini, Cik Rosmah diwakili peguam antaranya Encik K. Kumaraendran dan Encik Geethan Ram Vincent.

Terdahulu Encik Ahmad Akram memberitahu perbicaraan hari ini (10 Dis) ditetapkan untuk sebutan bagi memohon kes tersebut dibicarakan bersama dengan kes bekas pegawai khas kepada mantan Perdana Menteri, Rizal Mansor, yang didakwa meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Cik Rosmah berhubung projek sama.

Bagaimanapun katanya, pihak peguam bela Encik Rizal sudah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan sebutan kes tersebut ditetapkan Rabu ini (12 Dis).

ROSMAH DITEMANI SUAMI, ANAK SEMASA SEBUTAN KES

Encik Ahmad Akram kemudian memohon tarikh sebutan baru bagi menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah serta bagi mengetahui status pemindahan kes Encik Rizal ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 kanun sama.

Encik Akberdin mengesahkan pihaknya dilantik untuk mewakili Rosmah dan memberitahu pihaknya perlu meneliti dokumen berkaitan sebelum memberi maklum balas berkaitan kes termasuk perbicaraan bersama dan mahkamah menetapkan 11 Jan 2019 untuk sebutan semula kes.

Turut kelihatan hari ini (10 Dis) ialah mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak serta anak lelaki mereka, Encik Mohd Ashman, manakala Cik Rosmah yang memakai baju kurung putih berbunga merah sedondon dengan selendangnya kelihatan tenang dan dilihat sedang bercakap dengan suaminya sebelum prosiding bermula.

Ketika ditemui pemberita di luar bilik bicara, Encik Akberdin memberitahu barisan peguam terdahulu masih mewakili Cik Rosmah yang menghadapi 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dan lima tuduhan gagal membuat penyata tuntutan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pelantikan peguam baru itu bagi membolehkan peguam terdahulu mempunyai lebih tumpuan terhadap kes pengubahan wang haram itu.

Pada 15 Nov lalu, Cik Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta (S$490,000) berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Cik Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 (S$3,200) mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita