Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rosmah kemuka rayuan; tidak puas hati keputusan Mahkamah Tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor pada Jumaat (2 Sep) mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman ke atasnya bagi tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion (S$390 juta) untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Demikian disahkan oleh peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah ketika dihubungi Bernama.

Menurut notis rayuan, Rosmah tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pada Khamis (1 Sep) dan ingin merayu terhadap keputusan yang mensabitkannya mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) 2009 serta hukuman penjara dan denda di bawah Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009.

Isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.

Pada Isnin (1 Sep), Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan denda RM970 juta (S$300 juta) ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana Hakim Mohamed Zaini memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta (S$58.5) dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta (S$2 juta) daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Hakim Mohamed Zaini dalam penghakimannya antara lain memutuskan bahawa pembelaan Rosmah hanya penafian semata-mata dan wang RM6.5 juta (S$2 juta) memang untuknya dan beliau menerima wang itu di kediamannya di Jalan Langgak Duta serta Seri Perdana.

Dalam penghakiman setebal 116 halaman, hakim itu juga memutuskan bahawa Rosmah telah menguasai suaminya, Najib dan mempunyai kawalan ke atas bekas perdana menteri itu dan jelas daripada rakaman klip audio "Can I advise you something" antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan