Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rosmah harap tiada butiran siasatan terbocor

Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pihak berkuasa supaya jangan membocorkan butiran yang diperolehi semasa siasatan dijalankan sehingga terdedah begitu pantas di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Rosmah harap tiada butiran siasatan terbocor

Rosmah Mansor. (Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 19 May 2018 04:03PM Dikemas Kini : 19 May 2018 04:05PM

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menggesa pihak berkuasa supaya jangan membocorkan butiran yang diperolehi semasa siasatan dijalankan sehingga terdedah begitu pantas di media sosial.

"Ini, terutamanya, butiran mengenai barangan yang didakwa dirampas," kata Datin Seri Rosmah melalui kenyataan dikeluarkan bagi pihak beliau oleh firma guaman Valen, Oh & Partners kepada Malaysiakini hari ini (19 Mei).

Kata isteri Datuk Seri Najib Razak itu, keadaan tersebut berlaku ketika mereka berdepan dengan dugaan dan terus memberikan kerjasama kepada pihak yang berkenaan.

Menurut Datin Seri Rosmah, beliau dan keluarganya akan terus membantu siasatan pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya kebocoran butiran tersebut menyebabkan "keributan media" yang dilihat "disasarkan" kepada keluarga mereka bagi tujuan mencetuskan kemarahan orang ramai, lapor MalaysiaKini.

"Menjadi harapan kami supaya pihak berkuasa boleh memastikan kedaulatan undang-undang dipelihara dan dalam proses itu, mengelak berlaku perbicaraan awam pramatang.

"Agensi penguat kuasa tidak sepatutnya menyalurkan bahan untuk persendaan media sosial, sebaliknya mematuhi dan menegakkan profesionalisme ketat pada setiap masa," kata Datin Seri Rosmah.

Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berada di rumah Rosmah dan Najib di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur sejak kira-kira jam 10.00 malam Rabu lalu (16 Mei).

Sejak itu sejumlah barangan dirampas. Selain dari rumah berkenaan pihak berkuasa turut merampas pelbagai barang dari tiga unit kondominium di Pavilion Residence yang terletak di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Semalam (18 Mei) pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyampaikan notis kepada Najib supaya beliau hadir memberi keterangan pada Selasa ini (22 Mei).

Memetik sumber, Malaysiakini melaporkan perintah itu dibuat mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

Kata sumber, keterangan Najib diperlukan bagi membolehkan SPRM meneruskan siasatan berhubung skandal anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Sumber : Agensi berita/SM/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan