Skip to main content

Dunia

Rosmah dibenar dapatkan semula pasport, lawat anak di SG

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Khamis (15 Jun) membenarkan Cik Rosmah Mansor mendapatkan pelepasan sementara pasportnya untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa Mohd Najib dan keluarganya di Singapura.

Panel tiga hakim dipengerusikan Encik N Ravinthran yang bersidang bersama Encik Ahmad Zaidi Ibrahim dan Encik Azman Abdullah memutuskan, isteri mantan Perdana Menteri Najib Razak itu boleh mendapatkan semula pasportnya bermula pada Khamis hingga 7 Julai ini.
Cik Rosmah sebelum ini memfailkan notis usul itu pada 2 Jun menerusi Tetuan Akberdin & Co, bagi membolehkannya ke luar negara selama empat minggu bermula 6 Jun sehingga 7 Julai depan, menurut Astro Awani.

Dalam notis itu, Cik Rosmah memohon untuk melawat anak perempuan sulung beliau yang kini menetap di Singapura.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Cik Rosmah untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang dijangka melahirkan anak kedua di Singapura dan pada 21 Mac lepas untuk melawat seorang daripada cucunya yang tidak sihat, dipetik daripada Astro Awani.

“Saya dengan rendah diri memohon mahkamah membenarkan pasport antarabangsa saya diambil sementara untuk membolehkan saya menggunakannya bagi melawat anak perempuan saya dan keluarganya di Singapura,” kata Cik Rosmah dalam afidavit sokongannya, lapor Astro Awani.

Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta (S$280 juta) terhadap Cik Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion (S$372 juta) untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita