Skip to main content

Dunia

Rombongan kongres AS tiba di Taiwan di tengah ketegangan dengan China

Anggaran Waktu Membaca:
TAIWAN: Sebuah rombongan kongres Amerika Syarikat (AS) tiba di Taiwan pada Ahad (14 Ogos) bagi lawatan dua hari di mana mereka akan bertemu Presiden Tsai Ing-wen.

Rombongan kongres itu merupakan kumpulan peringkat kedua tertinggi yang melawat Taiwan di tengah-tengah ketegangan ketenteraan berterusan dengan China.

Beijing menjalankan latihan ketenteraan di sekitar pulau itu sebagai menunjukkan kemarahannya terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke Taipei, kurang dua minggu lalu.

Kedutaan de facto AS di Taipei menyatakan delegasi itu dipimpin Senator Ed Markey dengan diiringi empat anggota kongres yang lain, sebagai sebahagian daripada lawatan lebih meluas ke rantau Indo-Pasifik.

Pejabat Presiden Taiwan menyatakan rombongan tersebut akan bertemu Encik Tsai pada pagi Isnin (15 Ogos).

"Ketika China meningkatkan ketegangan di Selat Taiwan dan rantau ini dengan menjalankan latihan ketenteraan, Encik Markey yang memimpin delegasi ke Taiwan sekali lagi menunjukkan sokongan kukuh Kongres Amerika Syarikat terhadap Taiwan," menurut kenyataan tersebut.

"Rombongan itu akan bertemu pemimpin kanan Taiwan untuk membincangkan hubungan AS-Taiwan, keselamatan serantau, perdagangan dan pelaburan, rantaian bekalan global, perubahan iklim, serta isu penting lain yang mempunyai kepentingan bersama," menurut Kedutaan AS.

Kementerian Luar Taiwan menerbitkan gambar rombongan itu disambut di Lapangan Terbang Songshan di Taipei selepas tiba dengan jet pengangkutan tentera udara AS, manakala Encik Markey tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan.

Menurut Kementerian Luar Taiwan lawatan tersebut satu lagi petanda hubungan baik antara Taipei dan Washington.

"Ketika China terus meningkatkan ketegangan di rantau ini, Kongres AS sekali lagi menganjurkan lawatan
delegasi kanan ke Taiwan. Ini menunjukkan hubungan persahabatan yang tidak goyah dengan ancaman dan ugutan China serta menekankan sokongan kuat AS terhadap Taiwan."

Selepas bertemu Encik Tsai, rombongan itu akan menghadiri jamuan makan malam bersama Menteri Luar Taiwan, Joseph Wu, tambah kementerian itu.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita