Skip to main content

Dunia

Rombongan kapal bantuan kemanusiaan Gaza dijangka sampai Palestin dalam kurang seminggu

Anggaran Waktu Membaca:
ISTANBUL: Flotila atau rombongan kapal bantuan kemanusiaan yang menuju ke Gaza kini berada 463 batu nautika dari wilayah yang dikepung Israel itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) pada Sabtu (27 Sep).

Global Sumud Flotilla memaklumkan kapal-kapalnya menyambung perjalanan selepas berhenti seketika bagi menangani masalah mekanikal dan dijangka tiba dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

“Dalam masa dua hari, flotila akan memasuki zon berisiko tinggi, ketika kewaspadaan dan solidariti global amat diperlukan,” menurut kenyataan penganjur di platform media sosial X.

Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza pada Sabtu mendedahkan bahawa satu lagi flotila terdiri daripada 10 kapal awam belayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Catania, Sicily, membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition. 

Peserta termasuk sembilan ahli parlimen terpilih dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Global Sumud Flotilla, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, belayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan ke Gaza, menghalang konvoi makanan dan bantuan sehingga menyebabkan keadaan kebuluran semakin meruncing. 

Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli, dan banyak daripadanya dirampas kumpulan bersenjata yang menurut pihak berkuasa Gaza dilindungi Israel.

Israel sebagai kuasa pendudukan mempunyai rekod memintas kapal-kapal menuju Gaza, merampas kapal serta mengusir aktivis. 
 
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita