Skip to main content

Dunia

Rombakan kabinet Sabah berlandas perlembagaan negeri, dibarisi pelbagai kaum

Anggaran Waktu Membaca:
Rombakan kabinet Sabah berlandas perlembagaan negeri, dibarisi pelbagai kaum

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Jan 2023 10:27PM

KAJANG: Rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah susuli kemelut politik negeri itu baru-baru ini dilaksanakan berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah dan dibarisi kepimpinan pelbagai kaum, kata Ahli Parlimen Papar Armizan Mohd Ali.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) itu berkata rakyat Sabah khususnya, perlu menghormati keputusan tersebut bagi menyokong operasi kerajaan negeri Sabah.

“Pembentukan Kabinet rombakan ini diwakili dengan baik... Sabah perlukan Kabinet yang bersatu dan Kabinet kerja untuk tunaikan tanggungjawab kepada mandat yang telah diberikan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam di Kajang pada Khamis (12 Jan). 

Encik Armizan mengulas mengenai rombakan Kabinet Sabah yang diumumkan Ketua Menteri Hajiji Noor pada Rabu (11 Jan) yang menyaksikan Encik Hajiji tidak memegang sebarang portfolio dengan melepaskan jawatan Menteri Kewangan negeri kepada Masidi Manjun.

Daripada 11 Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah itu, tujuh ahli daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dua daripada Barisan Nasional (BN) dan dua lagi daripada Pakatan Harapan (PH).

Menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Encik Hajiji, Encik Armizan berkata kerajaan negeri akan terus berfungsi dengan Ketua Menteri sama yang mendapat sokongan majoriti.

Katanya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Encik Hajiji sebelum ini antara lain berjaya meningkatkan pendapatan negeri yang selama lebih 10 tahun berada pada paras RM4 bilion (S$1.2 bilion), kepada RM5.4 bilion (S$1.6 bilion) pada 2021 dan RM6.6 bilion (S$2 bilion) pada 2022.

Dalam perkembangan lain, Encik Armizan mahu rakyat Sabah menyambut baik komitmen Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim khususnya dalam isu Perjanjian Malaysia (MA63).

Katanya, dua perkara berbangkit MA63 sudahpun diselesaikan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, iaitu penyerahan kuasa kepada kerajaan Sabah dan Sarawak untuk meluluskan projek pembangunan bernilai bawah RM50 juta (S$15 juta) dan menurunkan kuasa bekalan gas kepada kedua-kedua negeri terbabit.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita