Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rohingya alu-alukan permohonan waran tangkap ICC terhadap ketua junta Myanmar

Anggaran Waktu Membaca:
Rohingya alu-alukan permohonan waran tangkap ICC   terhadap ketua junta Myanmar

(Gambar: CHAIDEER MAHYUDDIN / AFP)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 12:00PM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 12:38PM
COX BAZAR: Bagi para pelarian Rohingya yang melarikan diri dari keganasan di Myanmar, pengumuman pada Rabu (27 Nov) bahawa pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sedang mendapatkan waran tangkap terhadap ketua junta telah dialu-alukan oleh kaum Rohingya.

"Kami gembira mendengar tentang usaha ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap komander tentera Myanmar Min Aung Hlaing," kata pemimpin masyarakat sivil Rohingya, Sayod Alam, yang tinggal di kem pelarian yang sempit di sempadan Bangladesh.

"Ia satu kejayaan bagi kami."

Sekitar sejuta anggota Muslim Rohingya tanpa kerakyatan dan teraniaya berlindung di kem pelarian Bangladesh di Cox's Bazar, selepas melarikan diri dari pembunuhan dan kekejaman tentera Myanmar.

Min Aung Hlaing – yang merupakan ketua tentera semasa tindakan keras pada 2017, kini menjadi suspek siasatan pembunuhan beramai-ramai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – telah menolak istilah Rohingya sebagai satu "khayalan".

Kaum Rohingya mengalami diskriminasi selama beberapa dekad di Myanmar, di mana pemerintah negara itu berkali-kali mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin walaupun dengan sejarah panjang mereka di negara itu.

Ketua Pendakwa Raya ICC Karim Khan pada Rabu (27 Nov) meminta hakim yang berpangkalan di Hague untuk meluluskan waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing atas dakwaan melakukan jenayah kemanusiaan terhadap kaum Rohingya.

Guru sekolah masyarakat Rohingya, Senoara Khatun berkata dia berasa "gembira" atas permohonan itu.

"Rohingya sedang menunggu keputusannya," katanya. "Saya berharap setiap penjenayah akan diheret ke muka pengadilan oleh ICC di bawah undang-undang antarabangsa ... untuk melaksanakan lebih banyak langkah untuk membuat mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka dan menghukum mereka."

Ia merupakan permohonan pertama bagi waran tangkap terhadap pegawai kanan pemerintah Myanmar berhubung penderaan terhadap kaum Rohingya.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan