Skip to main content

Dunia

Rogol anak tiri 105 kali; bapa dijel 1,050 tahun, 24 sebatan

Mahkamah Sesyen pada Khamis (27 Jan) menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun dan sebatan maksimum 24 kali ke atas seorang lelaki.

Anggaran Waktu Membaca:
Rogol anak tiri 105 kali; bapa dijel 1,050 tahun, 24 sebatan

(Gambar hiasan: Merdeka.com)

Diterbitkan : 28 Jan 2021 07:34AM Dikemas Kini : 28 Jan 2021 07:36AM

KLANG: Mahkamah Sesyen pada Khamis (27 Jan) menjatuhkan hukuman penjara 1,050 tahun dan sebatan maksimum 24 kali ke atas seorang lelaki.

Hakim M Kunasundary menjatuhkan hukuman tersebut ke atas lelaki berusia 33 tahun itu selepas dia mengaku bersalah merogol anak perempuan tirinya sebanyak 105 kali dalam tempoh dua tahun.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jan lalu.

Hakim Kunasundary dalam penghakimannya berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah sangat serius dan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan.

Kesemua 105 pertuduhan ke atas tertuduh dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah pada prosiding yang berlangsung hampir lima jam bermula dari 2.45 petang hingga 7.30 malam semalam.

Hakim itu berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah keji dan amat berat serta telah memalapkan hidup seorang kanak-kanak.

"Saya harap kamu insaf dalam penjara. Kamu tidak sepatutnya melakukan sesuatu yang ganas walaupun hukuman yang diberikan adalah hukuman minimum, namun mahkamah merasakan memadai dengan mengambil kira jumlah pertuduhan yang dikenakan terhadap kamu," katanya.

Berdasarkan 105 pertuduhan itu, lelaki yang tidak bekerja itu didakwa merogol anak tirinya di sebuah rumah di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor sejak 5 Jan 2018 hingga 24 Feb 2020 mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebat.

Awal dari itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar memohon hukuman pemenjaraan berat dan sebatan maksimum dikenakan terhadap tertuduh dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam.

"Mangsa di dalam kes ini berumur 12 tahun semasa mula-mula dirogol oleh tertuduh dan telah dirogol selama dua tahun sebanyak 105 kali.

Tertuduh yang merupakan bapa tiri kepada mangsa sepatutnya bertanggungjawab untuk membela mangsa namun merosakkan harga dirinya. Perbuatan tertuduh akan menyebabkan trauma seumur hidup kepada mangsa sepanjang hayatnya," katanya yang mengendalikan kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Afiq Zuber.

Cik Nurul Qistini berkata kes merogol anak dalam jagaan merupakan kesalahan yang amat keji dan terkutuk serta dipandang serius oleh segenap masyarakat tidak kira agama apa sekalipun.

Perbuatan tertuduh diibaratkan sebagai “haruan makan anak” yang menjadi perhatian serius masyarakat umum yang bertentangan bukan sahaja dari segi undang-undang malahan ditegah oleh agama, katanya yang turut memohon hukuman berjalan secara berasingan bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan bagi meringankan hukuman.

Berdasarkan fakta kes, ibu mangsa telah bercerai dengan bapa kandungnya pada 2015 dan wanita itu berkahwin dengan tertuduh pada November 2016.

Semasa kejadian, hanya mangsa dan tertuduh berada di dalam rumah dan mangsa tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana telah diugut dan dipukul oleh tertuduh.

Kanak-kanak itu hanya menceritakan kejadian tersebut apabila ibunya membawa dia dan adik perempuan ke rumah ibu saudara mereka. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita