Robot AI di Masjidil Haram jawab pertanyaan agama, fatwa
Inisiatif itu hasil pelaburan pihak Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam teknologi moden dan AI sebagai tunggak utama strateginya untuk meningkatkan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji.
Robot AI menawarkan perkhidmatan faktwa dalam 11 bahasa. Gambar: SPA
MAKKAH: Cara menjawab pertanyaan agama dan fatwa daripada ulama dan syeikh di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah melalui pelbagai transformasi sejak beberapa dekad lalu.
Ia bermula dengan kerusi fatwa tradisional dan telefon lama, diikuti dengan teknologi digital dan aplikasi bijak, seiring dengan perkembangan moden.
Kini, ia melakar satu lagi pencapaian dengan pengenalan robot panduan bijak di Masjidil Haram.
Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), robot menggunakan kecerdasan buatan (AI) itu menawarkan perkhidmatan fatwa dan menjawab pertanyaan agama dalam 11 bahasa, sekali gus menandakan kemajuan terbaharu yang ketara oleh Presidensi Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Inisiatif itu hasil pelaburan pihak presidensi dalam teknologi moden dan AI sebagai tunggak utama strateginya untuk meningkatkan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji.
11 bahasa yang digunakan oleh robot itu ialah Arab, Inggeris, Perancis, Rusia, Parsi, Turki, Melayu, Urdu, Cina, Benggali dan Hausa, lapor SPA lagi.
Setiap robot mempunyai skrin sentuh 21 inci yang boleh digunakan untuk pelbagai perkhidmatan penting kepada pengunjung Masjidil Haram, seperti panduan, arahan, dan pendapat agama.
Ia ada empat roda yang dilengkapi dengan sistem berhenti bijak, membolehkan pergerakan lancar.
Selain itu, robot tersebut beroperasi tanpa wayar dengan kelajuan 5 GHz, sekali gus membolehkan pemindahan data yang pantas dan cekap.
Robot-robot itu mempunyai reka bentuk moden dan fleksibel yang membolehkan pergerakan mudah, menyediakan perkhidmatan fatwa di seluruh Masjidil Haram.
"Robot terbabit akan merayau-rayau di pekarangan Masjidil Haram untuk menjalankan fungsinya. Robot itu sangat popular dalam kalangan jemaah haji dan umrah dengan membantu menjawab pelbagai soalan mengenai agama," kata laporan SPA itu lagi.
Dilengkapi dengan kamera definisi tinggi, setiap robot dapat merakam panoramik serta pembesar suara dan teknologi pembatalan hingar untuk memastikan audio yang jelas.
Ia juga mempunyai mikrofon berkualiti tinggi untuk mendpatkan audio yang lebih bermutu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.