Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

RM90.9 juta masuk ke dalam akaun peribadi Najib pada 2012, dedah saksi

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Isnin (26 Sep) diberitahu bahawa wang berjumlah RM90.9 juta (S$28.3 juta) dimasukkan ke dalam akaun peribadi Bank AmIslamic bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menerusi dua transaksi pada 2012.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43 tahun, berkata berdasarkan penyata akaun berakhir nombor 694, kemasukan wang RM15,149,963.64 (S$4.72 juta) ke dalam akaun bekas perdana menteri itu adalah pada 31 Oktober dan RM75,749,963.64 (S$23.6 juta) pada 20 November 2012.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Najwa Bistamam pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi Encik Najib membabitkan dana RM2.3 bilion (S$715 juta) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam penyataan pembukaan pada 2019, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram berkata Encik Najib yang bertindak melalui ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low telah menyebabkan 1MDB terbabit dalam dua transaksi, dengan tertuduh memperolehi sejumlah RM90,899,927.28 (S$28.3 juta).

Transaksi itu adalah berkaitan pertuduhan kedua yang dihadapi oleh Encik Najib, membabitkan pengambilalihan aset dengan nilai yang diragui oleh 1MDB.

Dalam pada itu, Cik Uma Devi berkata pada November dan Disember 2011, Encik Najib mengeluarkan cek bernilai RM2,494,000 (S$776,920) kepada beberapa pihak.

“Pihak itu ialah Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd, RM494,900 (S$154,169), Yayasan Rahah, RM1 juta (S$311,516), ORB Solutions Sdn Bhd, RM450,000 (S$140,182), Mashi Publication Sdn Bhd, RM30,000 (S$9,345) dan Transformasi Kreatif, RM520,000 (S$161,988),” kata saksi pendakwaan ke-37 itu.

Encik Najib, 69 tahun, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperolehi suapan berjumlah RM2.3 bilion (S$715 juta) dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan