Skip to main content

Dunia

RM60 juta diluluskan baiki jalan Johor hasil turun padang, kata Menteri Besar Johor

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mendedahkan RM60 juta (S$17.6 juta) diluluskan untuk membaiki jalan-jalan di Johor menyusuli satu lawatan turun padang bersama Menteri Kerja Raya.

"Baru-baru ini kita jemput Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi ke Johor dan dia sendiri terkejut dengan keadaan yang tidak begitu baik di Johor," kongsi Encik Onn Hafiz dalam program Agenda Awani pada Selasa (6 Jun).

“Maka apabila kita minta peruntukan RM23 juta (S$6.73 juta), tetapi diluluskan tambahan tiga kali ganda RM60 juta (S$17.6 juta)."

Encik Onn Hafiz dalam wawancara bersama Agenda Awani seterusnya menyifatkan peruntukan itu sebagai satu "kejayaan" yang tidak akan terjadi sekiranya beliau tidak turun padang sendiri untuk mencari tahu tentang isu-isu yang dihadapi rakyat.

“Saya percaya kaedah terbaik ialah turun padang untuk lihat sendiri, supaya apa yang dilaporkan sama dengan keadaan di lapangan. Lebih utama daripada itu kita menghayati apa yang dirasai oleh rakyat secara keseluruhan," ujarnya, seperti ditukil Astro Awani.

Isu lain yang juga disentuh oleh Encik Onn Hafiz adalah berkaitan hospital-hospital di Johor, iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI), yang berdepan masalah tenaga kerja sehingga menjejas perkhidmatan hospital.

"Saya beri contoh isu yang tular berkaitan Wad 9A dan 10A di HSI. Dua wad tidak dibuka, bukan salah siapa-siapa tapi kerana tidak cukup kakitangan. Jika saya tidak turun, saya tidak akan tahu masalah yang ada dengan tepat," jelas beliau lagi.

Encik Onn Hafiz sedia maklum, masalah itu berlaku sedangkan HSA dan HSI tidak hanya memberi perkhidmatan kepada mereka yang duduk di Johor Bahru, bahkan seluruh Johor dan negeri lain, kerana kepakaran ada di dua hospital ini.
Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita