Skip to main content

Dunia

RM177 juta disita dalam siasatan kes Ismail Sabri, jumlah terbesar SPRM bagi suku pertama 2025

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan jumlah sitaan sebanyak RM483.38 juta (S$144,83 juta) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dengan nilai sitaan terbesar membabitkan kes mantan Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
RM177 juta disita dalam siasatan kes Ismail Sabri, jumlah terbesar SPRM bagi suku pertama 2025

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Encik Azam Baki. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Apr 2025 06:02PM Dikemas Kini : 10 Apr 2025 06:45PM
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan jumlah sitaan sebanyak RM483.38 juta (S$144,83 juta) dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dengan nilai sitaan terbesar membabitkan kes mantan Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengatakan jumlah sitaan keseluruhan di bawah Akta SPRM 2009 dalam tempoh tersebut termasuk wang tunai dan jongkong emas bernilai RM177 juta (S$53.03 juta) yang dirampas dalam kes Ismail Sabri.

“Paling besar sitaan sekarang ini adalah kes Ismail Sabri, iaitu RM177 juta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Sabah yang turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Muguntan Vanar.

Menurut Encik Azam Baki, dalam tempoh sama, jumlah aset dan wang yang dibekukan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) adalah sebanyak RM548,978,525 (S$164,482,256).

Katanya setakat ini jumlah aset yang dilucuthak dan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan di bawah ketiga-tiga akta berkaitan, termasuk Akta Tatacara Jenayah, adalah sebanyak RM603,363.29 (S$180,780), manakala jumlah penalti atau kompaun yang dikutip ialah sebanyak RM412,000 (S$123,448).

“Sebanyak 319 kertas siasatan telah dibuka, 401 tangkapan telah dilakukan, dan 146 individu telah dituduh di mahkamah dalam tempoh tersebut.

“Usaha kita dalam menyelesaikan kes-kes ini sedang giat dijalankan bagi tujuan bukan hanya pertuduhan tetapi juga pemulihan aset,” kata Encik Azam Baki.

Encik Ismail Sabri, yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita