Skip to main content

Dunia

RM1.19 juta dirampas setelah lelaki SG, rakyat Malaysia diberkas dalam serbuan vape terbesar di Johor

Polis Malaysia memberkas dua lelaki - seorang warga Singapura dan seorang lagi rakyat Malaysia - kerana dipercayai mengedar vape dibubuh dadah dan pihak berkuasa juga merampas dadah dan aset bernilai RM1.19 juta (S$385,782) dalam apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai rampasan terbesar seumpamanya di Johor.
Anggaran Waktu Membaca:
RM1.19 juta dirampas setelah lelaki SG, rakyat Malaysia diberkas dalam serbuan vape terbesar di Johor

Petikan skrin ketua polis Johor Ab Rahaman Arsad (tengah) berucap di sidang media di ibu pejabat Polis Johor pada 3 Feb 2026. (Imej: Facebook/Polis Johor)

Diterbitkan : 04 Feb 2026 03:08PM Dikemas Kini : 04 Feb 2026 03:16PM
JOHOR BAHRU: Polis Malaysia memberkas dua lelaki - seorang warga Singapura dan seorang lagi rakyat Malaysia - kerana dipercayai mengedar vape dibubuh dadah dan pihak berkuasa juga merampas dadah dan aset bernilai RM1.19 juta (S$385,782) dalam apa yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai rampasan terbesar seumpamanya di Johor.

Mereka diberkas dalam dua serbuan berasingan di Johor Bahru pada 29 Januari, dedah Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad semasa sidang media pada Selasa (3 Feb).

Suspek warga Singapura berusia 38 tahun diberkas di Taman Molek manakala suspek rakyat Malaysia, 25 tahun diberkas di hadapan sebuah bank di Taman Mount Austin.

"Penangkapan lelaki (warga Malaysia) itu membawa kepada rampasan 3,200 katrij vape mengandungi ketamine dan 48 bungkusan mengandungi 960 gram Ecstasy di sebuah rumah di Taman Setia Indah, dengan polis turut menyita sebuah kenderaan Toyota Cross dan wang tunai sebanyak RM136,500 (S$44,251)," katanya lagi yang dilaporkan oleh agensi berita tempatan, Bernama.

Rampasan itu merupakan yang terbesar pernah direkodkan di Johor sejauh ini, katanya.

Encik Ab Rahaman berkata warga Singapura itu dipercayai menguruskan kewangan operasi itu, manakala rakyat Malaysia itu pula mengendalikan pengedaran vape dibubuh dadah.

Setiap katrij vape mengandungi kira-kira 3.4 ml ketamine dan dijual pada harga RM300 (S$97.25) setiap satu, katanya lagi, sambil menambah bahawa operasi itu dipercayai aktif sejak Disember lalu.

"Modus operandi mereka melibatkan penggunaan rumah sebagai kemudahan penyimpanan dan menggajikan beberapa pekerja yang menggunakan kaedah 'drop-off point' di lokasi yang ditetapkan untuk pelanggan atau ejen mereka mengambil dadah," kata Encik Ab Rahaman, lapor The Star.

Kedua-dua lelaki itu diuji negatif bagi dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Mereka direman selama tujuh hari mulai 29 Januari.

Kes itu sedang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 Malaysia dan Akta Dadah Berbahaya (Rampasan Harta) 1988.

Jika sabit kesalahan, para pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita