RLAF tumpu bantuan untuk kanak-kanak, teruskan kerjasama dengan UNWRA
SINGAPURA: Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan mengadakan pengumpulan dana yang kedua bagi bantuan kemanusiaan buat para penduduk di Gaza bermula Rabu (20 Mac) hingga Selasa depan (26 Mac).
Kali ini, mereka akan menjalinkan kerjasama baharu dengan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) atas sebab-sebab keperluan kanak-kanak yang semakin mendesak di sana.
Ini kerana menurut CEO RLAF, Muhammad Faizal Othman, sekitar separuh dari lebih sejuta penduduk Gaza yang telah dipindahkan merupakan kanak-kanak.
SEBAHAGIAN BESAR BANTUAN DIKHUSUSKAN BUAT KANAK-KANAK
"Kami menerima laporan daripada rakan kerja kami UNICEF bahawa anggaran 1.1 juta orang di Gaza terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Setengah daripada mereka merupakan kanak-kanak. Kami sangat prihatin dengan keadaan di sana kerana kanak-kanak berdepan dengan ancaman penyakit dan kekurangan makanan disebabkan (kekurangan) akses kepada air bersih, makanan dan sanitasi," jelas beliau dalam wawancara bersama wartawan Nurhelmy Hakim.
"Ramai di antara kanak-kanak mempunyai cirit-birit dan mereka memerlukan ubatan untuk menjadi sihat semula. Kekurangan makanan menjadi isu kritikal kerana ramai di antara kanak-kanak yang berusia bawah dua tahun," tambah beliau.
Sejak pertengahan Oktober 2023, lebih 152,000 kes cirit-birit telah dilaporkan, dengan lebih separuh daripadanya menjejaskan kanak-kanak.
Ini merupakan kali kedua RLAF mengumpul dana bagi penduduk Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Selain UNICEF, mereka akan sekali lagi bekerjasama dengan Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi mengagihkan bantuan menerusi pengumpulan dana tersebut.
Encik Faizal menjelaskan, "Kami masih bekerjasama dengan UNRWA, supaya wang yang diberikan itu akan disalurkan kepada tempat-tempat yang telah kami persetujui. Kami akan terus bekerjasama dengan UNRWA sepanjang tahun ini."
"UNRWA sudah berada di Carikan Gaza daripada 70 tahun lalu, prasarana mereka sudah ada di sana. Kedua, kalau kita bekerjasama dengan badan-badan lain, badan-badan itu juga perlu bekerjasama dengan UNRWA apabila mereka berada di Carikan Gaza. Jadi mereka akan tetap berada di sana untuk memberikan bantuan untuk orang di Carikan Gaza. Kalau kita berhenti menyokong UNRWA, ia bermakna kita juga berhenti memberikan bantuan kepada orang-orang di Gaza," tambah beliau.
PROSES SEBELUM BANTUAN KEMANUSIAAN DIHULURKAN KEPADA PENERIMA
Disebabkan keadaan di Carikan Gaza yang menurut Encik Faizal, semakin meruncing, beliau menggalak masyarakat untuk menghulurkan bantuan bagi pengumpulan dana yang akan bermula pada Rabu (20 Mac) agar golongan kanak-kanak di Gaza dapat menerima bantuan yang sewajarnya.
Encik Faizal berkata, "Ia bermula dengan kempen pengumpulan dana tersebut, lalu dikumpulkan dan menjalani proses audit. Selepas itu, laporannya akan diberikan kepada Pesuruhjaya Badan-badan Amal (CoC). Setelah kesemua kerja pentadbiran habis, baru kita akan berikan kepada rakan kerja, dalam hal ini, UNICEF dan UNRWA, di mana kita akan bekerjasama dan mengenal pasti bantuan yang kami akan berikan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka."
UNWRA PERLUKAN $400 JUTA UNTUK BANTUK PENDUDUK GAZA
Encik Faizal mendedahkan bahawa dana sekitar S$8.1 juta yang dikumpulkan sebelum ini sudahpun diberikan kepada UNWRA.
"Wang yang kami telah agihkan kepada UNWRA sebanyak S8.1 juta itu tertumpu kepada orang awam, bantuan seperti air, kebersihan dan kesihatan, makan dan air minuman. Itu semua untuk orang awam di Carikan Gaza," jelas Encik Faizal.
Namun, belum kesemuanya sudah digunakan untuk mendapatkan barangan bantuan yang diperlukan untuk para penduduk di Gaza.
"Dalam kerjasama kami dengan UNWRA, ada beberapa bahagian. Pertama, kami sudah berikan jumlah sekitar S$2 juta pada November lalu kerana keadaan mendesak. Wang itu sudah dibelanjakan untuk membantu orang di Gaza seperti air, sanitasi dan kesihatan dan makanan dan tempat berteduh," kongsi Encik Faizal.
Menurut beliau, hasil kerjasama dengan UNWRA, bantuan yang disalurkan kepada para penduduk di Carikan Gaza menerusi dana tersebut dapat dilakukan melalui darat.
"UNWRA mempunyai sistem di mana mereka boleh mengagihkan bantuan ini ke Carikan Gaza menerusi laluan Karem Abu Salem antara Israel dan Gaza. Ia semua telah digunakan kesemuanya," ujar Encik Faizal.
Baki S$6 juta yang dikumpulkan sudahpun diberikan ke pihak UNWRA, namun belum digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan peralatan bantuan.
"Wang sebanyak S$6 juta yang kami agihkan belum lagi digunakan untuk membantu orang di Gaza. Mereka sedang mula mendapatkan barangan keperluan untuk diberikan kepada orang-orang di Gaza. Barang-barang ini akan dihantarkan menerusi dua laluan iaitu di Rafah dan kedua, di Karem Abu Salem (antara Carikan Gaza dan Israel)," tambah beliau lagi.
Bagi menjelaskan mengapa satu lagi pusingan pengumpulan dana perlu diadakan meskipun dana sedia ada yang sudah dihulurkan kepada UNRWA belum digunakan sepenuhnya, Encik Faizal berkata, ''UNWRA memerlukan lebih kurang S$400 juta untuk membantu orang di Gaza. Jadi hasil daripada pengumpulan dana ini ada kesan sedikit tetapi sebenarnya mereka memerlukan banyak sangat dana kerana ia meliputi lebih daripada 2 juta orang di Gaza."
"Dari segi laporan yang kami terima, ramai daripada mereka yang memerlukan air minuman dan makanan tetapi keadaannya juga sudah berlarutan. Kami prihatin tentang keadaan kesihatan sebab jika kebersihan tidak dijaga dengan baik, ia akan menimbulkan masalah kesihatan di Gaza. Banyak daripada dana tersebut diperlukan untuk kesihatan dan makanan," tambah beliau lagi.
Bagi pengumpulan dana yang bermula pada Rabu (20 Mac), orang ramai boleh menderma menerusi kaedah digital, PayNow, pemindahan wang menerusi bank atau cek.
Semua masjid di Singapura juga akan menyediakan tabung derma khas ‘Ramadan Appeal for Gaza’ pada Jumaat (22 Mac).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.