Rizab Persekutuan Amerika naikkan kadar faedah dalam usaha tangani inflasi; Trump kritik keputusan
Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah pada Rabu (16 Sep) buat kali pertama sejak 2023 dalam usaha menangani inflasi yang kekal tinggi.
Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Kevin Warsh semasa sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) di Washington pada 16 September 2026. (Gambar: Reuters/Evan Vucci)
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) sebulat suara bersetuju menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada julat antara 3.75 peratus dengan 4.00 peratus.
Pengerusi Fed Kevin Warsh berkata keputusan itu perlu diambil memandangkan inflasi kekal terlalu tinggi sejak sekian lama.
Kenaikan itu juga mungkin bukan yang terakhir tahun ini.
Unjuran terbaharu Fed menunjukkan sebahagian besar penggubal dasarnya menjangkakan sekurang-kurangnya satu lagi kenaikan kadar faedah diperlukan sebelum akhir tahun.
Inflasi di Amerika kekal tinggi sedang kenaikan harga terus memberi tekanan kepada isi rumah dan perniagaan.
Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Ogos berada pada 3.4 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya dan masih melebihi sasaran inflasi jangka panjang Fed sebanyak dua peratus.
TRUMP GESA FED TURUNKAN KADAR FAEDAH
Presiden Amerika Donald Trump mengkritik keputusan tersebut dan sekali lagi menggesa Fed supaya menurunkan kadar faedah dengan segera.
Encik Trump berkata kadar faedah Amerika sepatutnya berada pada satu peratus atau lebih rendah.
Beliau sebelum ini berulang kali mendesak Fed supaya menurunkan kadar faedah.
Encik Warsh dilantik oleh Encik Trump untuk menggantikan Jerome Powell sebagai Pengerusi Fed pada awal tahun ini.
Fed sebelum ini mengekalkan kadar faedah sejak Januari sambil menilai kesan kenaikan harga tenaga di tengah-tengah perang Iran serta dasar tarif terhadap inflasi dan perkembangan kecerdasan buatan (AI).
UNJURAN INFLASI DINAIKKAN
Fed turut menaikkan unjuran bagi indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE), ukuran inflasi pilihannya, kepada 3.7 peratus menjelang akhir tahun, berbanding 3.6 peratus dalam unjuran sebelumnya.
Unjuran pertumbuhan ekonomi Amerika bagi tahun ini turut dinaikkan kepada 2.3 peratus.
Fed mempunyai dua mandat utama, iaitu mencapai guna tenaga maksimum dan memastikan inflasi kembali kepada sasaran jangka panjang dua peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.