Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Riyadh, Bangkok kembali jalin hubungan, lerai ketegangan susuli 'peristiwa permata biru'

Anggaran Waktu Membaca:
Riyadh, Bangkok kembali jalin hubungan, lerai ketegangan susuli 'peristiwa permata biru'

Pertemuan antara Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dengan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman pada 25 Januari 2022. (Gambar: SPA/AFP)

RIYADH: Arab Saudi dan Thailand kembali menjalin hubungan diplomatik, setelah lebih tiga dekad ia tegang disebabkan oleh insiden pencurian batu permata daripada istana Saudi.

Seorang pekerja pembersihan dari Thailand, Kriangkrai Techamong, mencuri batu permata bernilai AS$20 juta (S$27 juta) daripada kediaman Putera Faisal, menurut laporan BBC. Ini sekali gus mencetuskan pertikaian - yang dipanggil Peristiwa Permata Biru - antara kedua-dua negara.

Kedua-dua negara itu mengumumkan menerusi satu kenyataan media bersama bahawa "hubungan diplomatik dijalin semula sepenuhnya" semasa lawatan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha ke Riyadh. 

Encik Prayut merupakan Perdana Menteri Thailand pertama yang mengadakan lawatan ke Saudi dalam tempoh lebih 30 tahun, menurut Kerajaan Thailand, seperti yang dilaporkan Nikkei Asia.

"Langkah bersejarah ini adalah hasil usaha berpanjangan di pelbagai peringkat untuk mewujudkan semula keyakinan bersama dan juga kembali menjalin hubungan muhibah," tambah kenyataan media itu lagi, menyusuli pertemuan antara PM Thailand dengan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman.

Syarikat penerbangan Saudi Airlines pula mengumumkan bahawa penerbangan ke Thailand akan disambung semula pada Mei.

PERISTIWA PERMATA BIRU

Thailand sebelum ini berulang kali mencuba untuk menjalin semula hubungan, sebahagiannya untuk dimanfaatkan oleh industri pelancongan. Namun Arab Saudi menuduh polis Thailand melakukan kesilapan pada siasatan terhadap kes pencurian tersebut, dengan mendakwa batu pertama yang dicuri itu dicuri oleh para pegawai kanan.

Polis Thailand kemudian mengembalikan batu-batu permata tersebut namun para pegawai Saudi mendakwa kebanyakannya palsu, manakala lokasi batu permata paling berharga - iaitu permata biru 50 karat yang jarang ditemui - masih tidak diketahui.

Riyadh kemudian menghantar seorang ahli perniagaan untuk menyiasat pada 1990 tetapi beliau menghilang di Bangkok beberapa hari selepas tiga diplomat Saudi ditembak mati di bandar itu.

Pada 2014, disebabkan kurang bukti, satu kes digugurkan terhadap lima lelaki termasuk seorang pegawai kanan polis Thailand, yang dituduh terlibat dalam pembunuhan seorang ahli perniagaan Saudi.

Kriangkrai menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan mencuri batu pertama dan menjual kebanyakan daripadanya sebelum dia ditangkap. Dia kemudian menjadi sami pada 2016.

THAI-SAUDI KERJASAMA 

Semasa lawatan dua hari ke Saudi pada minggu ini, PM Prayut dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, mengesahkan bahawa kedua-dua negara juga akan menjalin kerjasama dalam pelbagai aspek, khususnya politik, keselamatan dan pelaburan ekonomi.

"Gagasan bagi memastikan masa depan yang dinamik, saling mengutamakan mesra alam dan usaha kitar semula seiring dengan Wawasan Saudi 2030.

"Akan ada kerjasama dua hala dalam beberapa bidang, khususnya ekonomi, pelaburan dan perdagangan sejajar dengan mekanisme yang dikongsi antara kedua-dua negara. Kami juga akan bekerjasama dalam bidang makanan, keselamatan, keselamatan tenaga, kesihatan, pendidikan, pelancongan dan agama," kata Encik Prayuth.

Beliau menambah, Thailand juga terbuka kepada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Muktamar Islam dan bakal menjadi tuan rumah kepada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) APEC 2022.

Mengulas tentang sama ada terdapat hasrat untuk membuka laluan perjalanan udara antara kedua-dua negara, PM Prayut berkata ia sesuatu yang "dingini oleh kedua-dua pihak setelah sekian lama".

"Sejak hubungan retak selama lebih tiga dekad, setiap pihak menginginkan lawatan sedemikian (penerbangan antara kedua-dua negara) dan perjanjian kerjasama akan ditandatangani tidak lama lagi," ujar beliau.

Sumber : Agensi berita/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan