Skip to main content

Dunia

Ritual tolak banjir bercanggah dengan ajaran Islam, tegas Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Ritual tolak banjir bercanggah dengan ajaran Islam, tegas Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama M'sia

Ibrahim Mat Zin (kiri) bersama seorang wanita dikenali Puteri Zaleha. (Gambar: Media sosial)

Diterbitkan : 06 Jan 2022 08:10PM

JELI: Ritual menolak banjir yang dilakukan Ibrahim Mat Zin atau gelarannya Raja Bomoh bersama seorang wanita di Teluk Intan baru-baru ini jelas terdapat unsur bercanggah dengan ajaran Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berharap Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengambil tindakan tegas terhadap Ibrahim dan individu lain yang terlibat.

"Tindakan itu jelas membawa unsur yang bercanggah dengan ajaran agama Islam iaitu unsur khurafat dan tahyul yang dilakukan dalam upacara itu.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa agama negeri (JAIPk) mengenakan tindakan lebih tegas (terhadap individu terlibat)," katanya semasa sidang media selepas Program Musaadah Banjir di Pasti Nur Fatihah Kuala Balah hari ini (6 Jan).

Semalam (5 Jan) JAIPk dilaporkan akan memanggil Ibrahim berhubung satu ritual kononnya bagi menolak banjir di Dataran Pengairan dan Saliran Teluk Intan yang tular menerusi rakaman video.

Pengarahnya Encik Mohd Yusop Husin berkata selain Ibrahim, pihaknya akan memanggil individu lain yang terlibat dalam kejadian berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

Sementara itu di Perak, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata Ibrahim, 71 tahun, membuat laporan mengenai ritual itu di Balai Polis Teluk Intan.

“Raja Bomoh membuat laporan polis menafikan upacara yang dilakukan olehnya tidak bertentangan dengan akidah dan syariat agama Islam sebaliknya hanya mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata laporan itu sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan JAIPk.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita