Risiko tanah runtuh di Negeri Sembilan; pengguna jalan raya dinasihati elak perjalanan waktu malam

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Siong (tiga, kanan) bersama Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Seremban, Ainor Izman Maimun Mahmood (kanan) melakukan tinjauan di kawasan projek membina dan membaiki cerun runtuh di Rumah Rakyat Panchor pada 5 Disember 2022. (Gambar: BERNAMA)
SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang dan mengelakkan perjalanan pada waktu malam, terutama laluan berisiko, berikutan kejadian tanah runtuh di negeri berkenaan.
Pengarah JKR Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata ini kerana sejak bulan lalu, terdapat sekurang-kurangnya tiga atau empat kali runtuhan berbentuk 'sinkhole' atau lubang benam dan cepat mendap sehingga memberi kesan besar serta merisikokan pengguna.
“Perkara itu memang perlu tindakan segera bagi memastikan laluan selamat. JKR memang sentiasa memantau lokasi sering berlaku tanah dan cerun runtuh. Ada beberapa tempat namun terkawal, tidak boleh dedahkan untuk elakkan kerisauan masyarakat.
“Kita sekarang dalam musim Monsun Timur Laut dengan hujan lebat jadi beberapa kawasan turut terkesan dan senang mengalami keruntuhan. Pengguna jalan raya perlu sentiasa berhati-hati, jarak penglihatan juga terhad pada waktu malam,” katanya kepada wartawan pada Isnin (5 Dis).
Tambah beliau, pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenai keadaan terkini jalan raya termasuk lokasi tanah runtuh menerusi laman web JKR selain merujuk pusat bencana yang diwujudkan di Seremban.
Awal dari itu, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata RM2.01 juta (S$620,536) diperuntukkan bagi kerja pembaikan cerun runtuh di Rumah Rakyat Panchor yang selesai dibina pada 17 November lalu dan memanfaatkan 21 keluarga.
Beliau berkata runtuhan cerun di kawasan milik persendirian itu terjadi sejak 2014 berikutan gelongsoran tanah disebabkan hujan lebat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.