Skip to main content

Dunia

Risiko global Ebola 'kekal rendah': Ketua WHO

Anggaran Waktu Membaca:
Risiko global Ebola 'kekal rendah': Ketua WHO

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di Unit Pengasingan Hospital Rujukan Nasional Mulago, Uganda, 8 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Abubaker Lubowa)

Diterbitkan : 25 Jun 2026 07:26AM Dikemas Kini : 25 Jun 2026 07:47AM
  • WHO menilai risiko global Ebola kekal rendah walaupun kes pertama di luar Afrika dikesan di Perancis, melibatkan seorang doktor NGO ALIMA yang pulang dari DRC.
  • Kes ini menjadi peringatan tentang bahaya kepada petugas barisan hadapan, dengan hampir 80 petugas kesihatan telah dijangkiti di DRC.
  • Pesakit diasingkan dan dirawat segera di Paris, dengan usaha pengesanan kontak sedang dijalankan untuk mengawal penularan.
  • WHO menasihati negara agar tidak bertindak keterlaluan, serta menekankan pentingnya maklumat dan sokongan kepada petugas kesihatan yang menangani wabak.
Dijana oleh AI
GENEVA: Risiko global "kekal rendah" daripada wabak maut Ebola yang berpusat di Republik Demokratik Congo (DRC), kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu (24 Jun), selepas satu kes disahkan di Perancis.

Perancis pada Rabu mengumumkan kes pertama Ebola yang disahkan di wilayahnya, melibatkan seorang doktor yang pulang menaiki pesawat dari DRC, yang kini sedang bergelut dengan wabak besar tersebut.

Kes ini merupakan kes demam berdarah membawa maut pertama yang dikesan di luar benua Afrika semasa penularan wabak kali ini, yang turut menjejas Uganda.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengingatkan semua pihak agar tidak "bertindak keterlaluan" terhadap kes tersebut - yang merupakan kes pertama seumpamanya dikesan di Perancis.

Beliau berkata "tidak perlu cemas" sambil menegaskan bahawa "risiko kepada seluruh dunia adalah rendah".

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kes ini menjadi "peringatan tentang risiko yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan".

"Hampir 80 petugas kesihatan dijangkiti, sekali gus menunjukkan risiko yang mereka hadapi serta pentingnya memperkukuh pencegahan dan kawalan jangkitan," jelas beliau.

Kes yang disahkan pada Rabu itu melibatkan seorang doktor yang berkhidmat dengan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Alliance for International Medical Action (ALIMA), menurut kenyataan pertubuhan tersebut.

Pesakit berkenaan "menaiki penerbangan komersial dari Kinshasa dan hampir tidak menunjukkan sebarang gejala - kecuali sakit kepala", menurut kementerian kesihatan Perancis.

Keadaan pesakit "merosot sedikit semasa dalam penerbangan", dan selepas itu beliau segera diasingkan serta diberikan rawatan sebaik sahaja mendarat di Paris, malah sebelum penyakit itu disahkan secara rasmi, tambah kementerian berkenaan.

Pesakit kini berada dalam "keadaan stabil" dengan jumlah virus yang "sangat rendah", jelas kementerian itu lagi.

Usaha kini sedang dijalankan untuk mengenal pasti individu yang mungkin berselisih atau bersentuhan dengan pesakit.

WHO menasihati negara-negara luar "untuk menyokong pengerahan selamat bagi petugas yang membantu menangani wabak ini", kata Encik Tedros.

"Ini termasuk memastikan pertubuhan yang menghantar kakitangan menyediakan maklumat jelas mengenai risiko, cara mengurangkan dan menguruskan risiko pendedahan virus, serta memastikan negara-negara bersedia untuk memudahkan proses pemindahan jika diperlukan."

Wabak Ebola ke-17 di DRC diisytiharkan pada 15 Mei lalu selepas beberapa kematian misteri berlaku di wilayah Ituri, sebuah kawasan yang kaya dengan hasil bumi di bahagian timur yang bergolak akibat serangan kumpulan bersenjata.

Menurut angka rasmi terbaharu, lebih 1,000 kes dicatat, termasuk 267 kematian, yang menunjukkan kadar kematian sekitar 25 peratus.

WHO menilai tahap risiko kesihatan awam sebagai "sangat tinggi" bagi negara DRC, "tinggi" bagi Uganda serta negara lain yang bersempadan dengan DRC, dan "rendah" bagi seluruh dunia.

Encik Tedros meminta agar kes di Perancis itu dinilai secara "adil dan tenang", serta menggesa agar tidak berlaku "tindakan yang keterlaluan".

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun beribu-ribu kes Ebola dikesan di Afrika sepanjang separuh abad yang lalu, "dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini, jumlah kes yang dikesan di luar Afrika adalah kurang daripada 30 kes".
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita