Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rintihan seorang ayah yang kehilangan anaknya, Allahyarham Sayyad Milne di Christchurch

Ayah mana yang tidak dirundung kesedihan. Encik John Milne menahan sebak di atas katilnya sambil mahu menulis sepucuk surat kepada anaknya Allahyarham Sayyad Milne - salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi pengganasan di dua masjid Christchurch yang meragut 50 nyawa.

Anggaran Waktu Membaca:
Rintihan seorang ayah yang kehilangan anaknya, Allahyarham Sayyad Milne di Christchurch

Encik John Milne. (Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Diterbitkan : 21 Mar 2019 12:57AM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 01:17AM

CHRISTCHURCH: Ayah mana yang tidak dirundung kesedihan. Encik John Milne menahan sebak di atas katilnya sambil mahu menulis sepucuk surat kepada anaknya Allahyarham Sayyad Milne - salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi pengganasan di dua masjid Christchurch yang meragut 50 nyawa.

Sayyad adalah salah seorang anak hasil perkahwinan Encik Milne dengan wanita warga Singapura, Cik Noraini Abas.

Encik Milne tidak pasti apa yang seharusnya dituliskan pada lembaran surat tersebut.

Encik John Milne. (Gambar: Anthony Wallace/AFP) 

(Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Apa yang anda boleh katakan mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang bercita-cita untuk menjadi penjaga gawang bagi pasukan Manchester United dan tidak akan mencapai cita-citanya itu? Begitulah keluhan Encik Milne.

"Dia (Sayyad) ada impian itu. Dia mahu menjadi lebih tinggi - kakinya saiz 11, walaupun baru berusia 14 tahun," kata Encik Milne tentang anaknya itu.

Selepas terhenti buat seketika, penanya mula bergerak. "Saya mahu lakukan ini," katanya.

"Sayyad Sayyad Sayyad, singa pemburu yang berani. Baik, Penyayang, Pengasih," beliau mula.

Cebisan kisah hidup anaknya yang singkat itu mula mengalir keluar.

Kelahiran anaknya yang sukar: "anakku yang istimewa ini harus berjuang untuk hidup dari mula lagi". Namun kini satu kekosongan bertaut di hatinya sendiri sejak pembunuhan itu yang meragut nyawa Sayyad.

Surat itu sebenarnya diminta oleh seorang jurugambar AFP, Encik Anthony Wallace.

Surat yang ditulis untuk Allahyarham Sayyad Milne (Gambar: AFP)

Surat yang ditulis Encik Wallace. (Gambar: Anthony Wallace/AFP)

Selepas peristiwa serangan pada Jumaat lalu itu, Encik Wallace menyimpan sekeping papan putih di begnya dan meminta para penduduk Christchurch untuk menulis apa saja yang mereka rasakan di atas papan itu.

Namun bagi Encik Milne, surat tulisan kepada anaknya Sayyad mengambil sebahagian besar permukaan papan putihnya tersebut.

Menurut Encik Milne, Afllahyarham Sayyad akan melakukan solat di masjid Al Noor pada setiap hari Jumaat.

Sayyad dan Cik Noraini berada di masjid Al Noor ketika seorang penembak tiba-tiba muncul dan melepaskan tembakan terhadap para jemaah. Cik Noraini berjaya menyelamatkan dirinya tetapi Sayyad terkorban dalam tragedi tersebut.

Encik Milne mengenangkan saat anaknya itu menjejakkan kakinya keluar dari rumah buat kali terakhir untuk ke sekolah pada pagi itu sebelum ke masjid pada sebelah tengah hari. Beliau melahirkan kekesalan tidak memeluk anaknya pada hari tersebut.

Beliau mengakhiri suratnya itu dengan kata-kata: "Sayyad kami menyayangimu dan merinduimu. Terima kasih atas dirimu itu."

Encik Milne mengakui, beliau mungkin kehilangan dua orang anak pada hari serangan tersebut. Ini kerana seorang lagi anaknya, Shuayb Milne, lazimnya menemani Sayyad ke masjid. Mujur dia menyertai kegiatan sekolah pada hari berkenaan.

Beliau masih ingat lagi bagaimana Allahyarham Sayyad berjalan ke luar pintu rumah pada Jumaat 15 Mac untuk ke sekolah dan ke masjid.

"Saya sepatutnya memeluknya. Saya sepatutnya memberitahunya saya sayangkan dia," luah Encik Milde dengan nada kesal. "Itulah yang semua orang patut lakukan. Mereka perlu katakan: 'Saya sayang dengan anda'."

Jenazah Allahyarham Sayyad dikebumikan hari ini (Khamis, 21 Mac) di Memorial Park Cemetery, Bromley dengan solat jenazah dilakukan di pusara berkenaan. 

Sumber : AFP/IL/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan