Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ringgit M'sia junam ke paras terendah berbanding dolar SG: Siapa untung?

Anggaran Waktu Membaca:
Ringgit M'sia junam ke paras terendah berbanding dolar SG: Siapa untung?

Gambar: AFP

Diterbitkan : 27 May 2023 12:47PM Dikemas Kini : 27 May 2023 02:56PM
SINGAPURA: Apabila Hasan Abdul Rahman mendapat tahu pada Khamis (25 Mei) tentang berita bahawa mata wang Ringgit Malaysia menjunam ke paras rekod rendah RM3.41 berbanding dolar Singapura, beliau berasa gembira.

Ia bukan kerana beliau boleh menikmati percutian di seberang tambak pada harga yang lebih murah, tetapi perkembangan tersebut memberi kesan yang baik kepada perniagaan makanan halalnya.

Encik Hasan, 33 tahun, ialah pengarah urusan Pondok Abang yang mengeluarkan hidangan beku sedia untuk dimakan yang disahkan halal. Beliau berkata sekitar 30 peratus daripada barangannya diimport dari Malaysia.

Dengan kadar pertukaran terkini itu, import dari Malaysia sekarang lebih murah.

"Ia satu perkara baik. Ia membantu kami menjimat wang yang diperlukan dan membelanjakannya untuk keperluan lain."

Beliau menambah bahawa setiap wang dollar yang dijimat penting memandangkan terdapat tekanan inflasi yang tinggi.

Pun begitu, bagi warga Malaysia pula, mereka kini terpaksa membayar lebih apabila mengunjungi Singapura.

Demikian halnya bagi ejen hartanah Carrey Chiah, seorang warga Malaysia yang tinggal di ibu kota Kuala Lumpur. Wanita berusia 52 tahun itu berkata beliau jarang mengunjungi Singapura dahulu. Namun halnya berbeza sekarang ini dengan beliau melakukan perjalanan ke Singapura sekali setiap tiga hingga empat bulan untuk melawat anak perempuannya yang mula bekerja di sini sejak tahun lalu.

Dengan mata wang Ringgit Malaysia melemah, lawatannya ke Singapura - yang biasanya dilakukan selama tiga hingga empat hari - boleh menelan belanja "beberapa ratus ringgit" lebih tinggi berbanding apabila beliau berkunjung semasa tempoh yang sama tahun lalu. Ketika itu, kadar pertukaran mata wang adalah sekitar RM3.2 kepada S$1.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa ia tidak menjadi satu kebimbangan besar baginya, memandangkan tempoh penginapannya di sini pendek.

APA YANG DIKATAKAN PENGURUP WANG

Sebilangan pengurup wang ditemui Mediacorp berkata mereka menyaksikan kenaikan jumlah pelanggan yang menukarkan wang dolar Singapura kepada mata wang Ringgit Malaysia yang lemah supaya dapat memanfaatkan kemerosotan pada kadar pertukaran tersebut.

Salah seorang daripadanya adalah Encik Vanchilabbai Sharifdeen Tajdeen, pengarah VS Exchange di pusat beli-belah The Arcade di Collyer Quay.

Beliau menyaksikan peningkatan 20 hingga 30 peratus bilangan pelanggan yang menukar dolar Singapura untuk Ringgit Malaysia sepanjang dua hari lalu.

MENGAPA RINGGIT MALAYSIA BERTAMBAH LEMAH BERBANDING DOLAR SINGAPURA?

Ahli ekonomi dan pakar pertukaran asing menjelaskan bahawa kemerosotan pada nilai ringgit berbanding dolar Singapura berikutan dua sebab utama: Pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan kelemahan ekonomi China.

Ketua ahli strategi forex Maybank, Saktiandi Supaat, menarik perhatian bahawa kedua-dua dolar Singapura dan Ringgit Malaysia melemah berbanding dolar AS sejak minggu lalu, tetapi dolar Singapura "lebih berdaya tahan".

Memandangkan Singapura mempunyai dasar kadar pertukaran dan bukannya dasar kadar faedah, terdapat kurang tekanan dari segi pembezaan kadar hasil pada dolar Singapura berbanding Ringgit Malaysia.

Kebanyakan pelanggan menukar sekitar S$500 hingga S$1,500 dolar Singapura bukan untuk bercuti ke Malaysia dan membelanjakannya secara serta-merta tetapi sebaliknya, untuk disimpan buat lawatan ke negara itu pada masa hadapan.
 
Sumber : Today/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan