Skip to main content

Dunia

Ringgit cecah paras tertinggi berbanding dolar Amerika dalam tempoh 7 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Ringgit cecah paras tertinggi berbanding dolar Amerika dalam tempoh 7 tahun

Gambar: AFP

Diterbitkan : 27 Jan 2026 06:07PM
  • Ringgit Malaysia mencatat paras tertinggi sejak Mei 2018, diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar Amerika Syarikat pada 27 Januari.
  • Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dari Bank Muamalat Malaysia Bhd menjelaskan sokongan teknikal baharu dan menyatakan kenaikan ringgit didorong keyakinan terhadap ekonomi negara.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan pengukuhan ringgit tidak menjejaskan eksport dan import, serta kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi dan menarik pelaburan asing.
  • Kenaikan nilai ringgit memberi kesan kepada industri eksport, namun kerajaan memantau dan mempertahankan kekuatan mata wang negara.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar Amerika Syarikat pada tengah hari Selasa (27 Jan), mencatat paras tertinggi baharu sejak 15 Mei 2018 dan aliran meningkat itu dijangka berterusan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata berdasarkan analisis carta teknikal, paras sokongan baharu untuk mata wang tempatan adalah pada RM3.8722 (S$1.24).

Keyakinan terhadap sistem ekonomi Malaysia yang sejajar dengan penunjuk ekonomi negara yang bertambah baik, meningkatkan nilai mata wang di tengah-tengah perbincangan mengenai kemungkinan campur tangan mata wang oleh Amerika Syarikat dan Jepun.

“Bagaimanapun, kadar peningkatan nilai ringgit yang pesat boleh memberi impak terutamanya terhadap industri berorientasikan eksport,” katanya kepada Bernama pada Selasa (27 Jan).

Awal dari itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengukuhan ringgit tidak menjejas aliran eksport dan import negara. Malah, kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi dan menarik pelaburan asing.

“Apabila ringgit mengukuh ada kesan positifnya dan ada sedikit yang membimbangkan kerana ia terkait dengan eksport dan import barangan.

“Namun, pada keseluruhannya, jika kita lihat, tidak ada negara yang mahu nilai mata wang mereka itu merosot dan rendah luar daripada kekuatan yang sepatutnya dipertahankan,” kata beliau di Dewan Rakyat.

Encik Anwar, yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai faktor kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika serta kesannya terhadap eksport dan import negara.

Pada pukul 8.00 pagi, ringgit diniagakan pada 3.9650/9750 berbanding dolar Amerika, berbanding 3.9615/9670 semasa perniagaan ditutup pada Isnin. Kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei 2018.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita