Skip to main content

Dunia

Ribut tropika hampiri Filipina, dijangka mengganas jadi taufan menuju ke China

Ribut Tropika Matmo semakin menghampiri Filipina pada Khamis (2 Okt) dan dijangka bertukar menjadi taufan yang boleh mengancam selatan China hujung minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribut tropika hampiri Filipina, dijangka mengganas jadi taufan menuju ke China

Seorang penduduk memasang tali di bumbung rumahnya di Bandar Legaspi, wilayah Albay, selatan Manila, pada 25 September 2025. (Gambar: AFP/Charism Sayat)

Diterbitkan : 02 Oct 2025 06:29PM
HONG KONG: Ribut Tropika Matmo semakin menghampiri Filipina pada Khamis (2 Okt) dan dijangka bertukar menjadi taufan yang boleh mengancam selatan China hujung minggu ini.

Perkembangan ini berlaku hanya sekitar seminggu selepas rantau tersebut dilanda Ragasa, salah satu ribut paling dahsyat yang membadai Asia sejak beberapa tahun lalu.

Matmo, yang mencatat kelajuan maksimum bagi angin sekencang 65 kilometer sejam (km/j), dijangka bergerak ke arah barat laut menuju kawasan di sekitar Luzon, iaitu wilayah paling padat dengan penduduk di Filipina, dengan kelajuan sekitar 22km/j, menurut balai cerap Hong Kong pada pagi Khamis.

Wilayah tengah negara itu masih berdepan kesan gempa bumi yang meragut berpuluh-puluh nyawa.

Agensi cuaca Filipina menyatakan ribut tersebut mungkin melanda bahagian darat wilayah Isabela atau Aurora pada Jumaat, dan dijangka melintasi utara Luzon.

Ia turut memberi amaran tentang risiko sederhana ribut lebih dahsyat yang mengancam nyawa dalam tempoh 36 jam akan datang di beberapa kawasan rendah.

Ia turut menekankan bahawa perjalanan laut agak berisiko bagi semua jenis kapal di kawasan yang dijangka dilanda ribut itu.

Balai cerap Hong Kong meramalkan Matmo akan memasuki kawasan Laut China Selatan selepas melanda Filipina dan bertukar menjadi taufan, membawa angin kencang serta hujan ke pusat kewangan Asia itu pada hujung minggu ini.

Ia dijangka melanda kawasan pesisir di wilayah berdekatan Guangdong, pusat ekonomi selatan China, pada Ahad sebelum bergerak ke arah barat laut ke wilayah Guangxi dan akhirnya reda sekitar wilayah Yunnan di barat daya China pada minggu depan.

Sebilangan penduduk di selatan China sudah menjangkakan cuaca buruk sedang mereka meraikan perayaan pertengahan musim luruh pada Isnin, iaitu masa untuk keluarga berkumpul dan pesta tanglung.

China Selatan, termasuk Hong Kong, mencatat jumlah taufan yang luar biasa tinggi tahun ini, jauh melebihi purata musimannya, menurut City University of Hong Kong minggu lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Super Taufan Ragasa - taufan paling dahsyat tahun ini, yang pernah mencatat kelajuan angin maksimum berterusan sekencang 265km/j - menghampiri bandar itu sebelum melemah dan memasuki timur laut Vietnam.

Awal minggu ini, Taufan Bualoi pula membawa kemusnahan besar dan meragut nyawa di Vietnam.

Perdana Menteri negara itu mengarahkan usaha bantuan segera dijalankan selepas banjir dan tanah runtuh akibat Bualoi melanda 17 wilayah.

Lebih 158,000 rumah musnah, rosak atau ditenggelami air, manakala beribu-ribu jalan raya terhalang dan sekurang-kurangnya 27 orang terkorban di Vietnam.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita