Ribut salji landa bandar Pakistan; operasi menyelamat diteruskan
(Gambar: Aamir Qureshi/AFP)
KARACHI: Angka kematian akibat salji tebal di stesen bukit terkenal berhampiran ibu negara Pakistan, Islamabad meningkat kepada 23 orang, ketika pekerja penyelamat dan tentera bertungkus lumus semalaman untuk membersihkan salji di jalan raya, lapor agensi berita Anadolu memetik para pegawai pada Ahad (9 Jan).
Salji tebal sejak tiga hari lalu menimbus Murree, pekan tanah tinggi yang terletak kira-kira 65 kilometer dari Islamabad, dan kawasan lembahnya diliputi salji tebal, menyekat jalan, memutuskan bekalan elektrik, dan menimbulkan panik kepada pelancong yang bergegas mencari perlindungan.
Beribu-ribu kenderaan yang penuh dengan pelancong terperangkap dalam ribut salji di kawasan lembah dan kawasan berdekatan sejak tiga hari lalu.
Sekurang-kurangnya 23 orang, termasuk lapan daripada sebuah keluarga, meninggal dunia akibat kesejukan dan kekurangan oksigen apabila beribu-ribu kenderaan terperangkap di laluan berbeza di sekitar Murree sejak dua hari lalu, memaksa pemerintah menggerakkan bantuan tentera.
Ketua Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara Mejar Jeneral Akhtar Nawaz, berkata pasukan-pasukan penyelamat masih berusaha untuk membersihkan jalan utama di mana kebanyakan kematian berlaku.
Menurutnya lagi, semua pelancong yang terkandas sudah dipindahkan ke hotel dan kem tentera.
Bagaimanapun, tambahnya lagi, banyak kenderaan terbiar masih terperangkap di bawah salji, menyukarkan pasukan penyelamat membersihkan jalan utama yang menghubungkan lembah itu dengan seluruh negara.
Menurut polis Murree, kira-kira 600 hingga 700 kenderaan diselamatkan semalaman. Rakaman yang disiarkan penyiar tempatan Geo News menunjukkan tentera menggunakan jentera berat untuk membersihkan jalan raya dan penyelamat menyiram garam di jalan raya sebagai usaha untuk mencairkan lapisan salji tebal.
Sementara itu, Perdana Menteri Imran Khan mengarahkan siasatan berhubung insiden itu, memberikan tumpuan kepada sebab mengapa pelancong tidak dihalang daripada melawat stesen bukit itu meskipun amaran jelas sudahpun diberikan oleh jabatan meteorologi mengenai salji tebal.
Lembah utara dan barat laut Pakistan mengalami salji tebal tahun ini, petunjuk jelas akibat perubahan iklim.
Pakistan adalah antara 10 negara, yang dijangka terjejas teruk akibat perubahan iklim.
Beratus-ratus ribu orang dari seluruh Pakistan mengunjungi Murree dan destinasi pelancongan yang terletak berdekatan untuk menikmati salji pada musim sejuk.
Menurut polis, lebih 100,000 kenderaan memasuki Murree sejak seminggu lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.