Skip to main content

Dunia

Ribut musim sejuk dahsyat di Amerika Syarikat dijangka jejas lebih 120 juta penduduk

Anggaran Waktu Membaca:
Ribut musim sejuk dahsyat di Amerika Syarikat dijangka jejas lebih 120 juta penduduk
Ribut salji terbesar di Amerika Syarikat dijangka jejaskan 120 juta penduduk. (Gambar: BERNAMA)
Diterbitkan : 24 Jan 2026 07:30AM Dikemas Kini : 24 Jan 2026 07:42AM
WASHINGTON: Berjuta-juta rakyat Amerika Syarikat sedang bersiap sedia menghadapi apa yang mungkin antara ribut musim sejuk terburuk di negara itu dalam tempoh beberapa tahun, menurut amaran Khidmat Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat dan laporan media pada Khamis (22 Jan), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lebih 120 juta penduduk Amerika Syarikat atau lebih sepertiga daripada keseluruhan penduduk negara itu - berkemungkinan terjejas pada hujung minggu ini, menurut ABC News.

Ribut itu dijangka merentasi lebih 3,000 kilometer di seluruh negara, lapor The Washington Post.

Ribut dan salji diramalkan melanda negeri di bahagian selatan, sebahagian kawasan Midwest serta Pantai Timur, dengan kesan dijangka dirasai pada Ahad (25 Jan), termasuk di kawasan metropolitan New York dan ibu negara Amerika Syarikat, Washington.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan memberi amaran pada Khamis mengenai jalan raya berais dan keadaan perjalanan yang berbahaya.

Gabungan salji dan angin kencang boleh mengurangkan jarak penglihatan di jalan raya secara ketara, katanya.

Terdapat kemungkinan pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik juga boleh berlaku.

Pakar kaji cuaca kebangsaan turut memberi amaran mengenai risiko hipotermia dan luka beku, serta mengesyorkan penduduk melindungi haiwan peliharaan daripada cuaca sejuk.

Angin kencang akan menyebabkan suhu dirasai lebih sejuk daripada bacaan sebenar, katanya.

Di negeri selatan Texas, pengurusan kecemasan negeri diaktifkan bagi membantu menangani sebarang insiden, menurut pengumuman Gabenor Greg Abbott.

Langkah itu membolehkan pemantauan lebih rapi terhadap bekalan elektrik serta bantuan membersihkan jalan raya sekiranya berlaku kecemasan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita