Ribut landa selatan China susuli Taufan Wipha
Ribut membadai kawasan selatan China pada Isnin (21 Jul), mencetuskan amaran banjir kilat dan tanah runtuh, sehari selepas Taufan Wipha melanda Hong Kong.
Anggota bomba mengalihkan pokok yang tumbang di atas jalan selepas Taufan Wipha melanda Taishan, wilayah Guangdong, China pada 20 Julai 2025. (Gambar: cnsphoto melalui REUTERS)
This audio is generated by an AI tool.
Hujan lebat melanda bandar Yangjiang, Zhanjiang dan Maoming di wilayah selatan Guangdong selepas sistem ribut itu mendarat pada Ahad petang.
Pada Ahad, Taufan Wipha melanda Hong Kong, menyebabkan pokok dan perancah tumbang, penerbangan tergendala, dan hampir 280 orang dipindahkan ke pusat perlindungan.
Menurut ramalan cuaca kebangsaan China, taufan itu sudah berkurangan dan kini menjadi ribut tropika selepas mendarat, dan diramalkan akan menyusuri pantai Guangdong sebelum bergerak ke arah barat daya menuju ke Vietnam.
Hujan lebat dijangka terus melanda kawasan pesisir China termasuk Guangdong, Guangxi, Hainan dan Fujian sehingga Selasa pagi, dengan amaran berlakunya banjir kilat, tanah runtuh dan bahaya akibat angin kencang.
Sistem ribut itu dijangka bergerak ke Teluk Tonkin lewat pagi Isnin, di mana ia dijangka kembali menguat sebelum melanda pantai utara Vietnam pada Selasa, menurut peramal cuaca.
VIETNAM SIAP SEDIA HADAPI TAUFAN WIPHA
Perdana Menteri Vietnam meletakkan wilayah pesisir dalam keadaan berjaga-jaga dalam menghadapi Taufan Wipha, yang dijangka boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh, manakala syarikat penerbangan membatalkan penerbangan menjelang ketibaan ribut itu pada awal pagi Selasa.
Wipha dijangka menyukarkan lagi usaha untuk mencari mangsa yang masih hilang selepas sebuah bot pelancong terbalik di tengah-tengah ribut petir di Teluk Ha Long, utara Vietnam pada Sabtu, yang meragut lebih 30 nyawa.
Taufan itu diramal melintasi pantai utara Vietnam antara wilayah Quang Ninh dan Ninh Binh. Agensi cuaca kebangsaan menyatakan bahawa ia membawa hujan lebat yang boleh mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang berbahaya.
Perdana Menteri Pham Minh Chinh mengirimkan mesej kecemasan kepada wilayah-wilayah pesisir pada Ahad malam, mengarahkan agar bot dibawa ke darat, pemindahan penduduk dari kawasan berisiko banjir dilakukan, bekalan makanan dan peralatan menyelamat disediakan, dan infrastruktur komunikasi diperkukuh.
“Ini adalah taufan yang kuat dan bergerak pantas,” kata Encik Chinh dalam mesejnya, sambil menambah bahawa Wipha boleh menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan pergunungan serta banjir di kawasan bandar.
Vietnam Airlines dan syarikat sekutunya, Pacific Airlines, sudah membatalkan sekurang-kurangnya sembilan penerbangan domestik pada Isnin, menurut syarikat penerbangan nasional itu lewat Ahad, sambil menambah bahawa lebih banyak kelewatan dan penjadualan semula turut dijangkakan.
Syarikat penerbangan tambang jimat Vietjet pula membatalkan 12 penerbangan pada Isnin, termasuk beberapa ke Korea Selatan, disebabkan oleh taufan tersebut.
Dengan garis pantai yang panjang dan menghadap ke arah Laut China Selatan, Vietnam terdedah kepada taufan yang sering membawa maut. Tahun lalu, Taufan Yagi mengorbankan sekitar 300 orang dan menyebabkan kerugian sebanyak AS$3.3 bilion (S$4.24 bilion).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.