Skip to main content

Dunia

Ribut kuat jejas penerbangan, bekalan elektrik di Sydney

Sistem cuaca buruk melanda Sydney untuk hari kedua pada Rabu (2 Julai), dengan ribut menyebabkan berpuluh-puluh penerbangan dibatalkan, pokok-pokok tumbang dan bekalan elektrik terputus bagi ribuan rumah di tenggara Australia.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribut kuat jejas penerbangan, bekalan elektrik di Sydney

Seorang lelaki berlari semasa awan ribut berarak di atas Pantai Bronte di Sydney, Australia, pada 1 Julai 2025. (Gambar: REUTERS/Bianca De Marchi)

Diterbitkan : 02 Jul 2025 10:46AM Dikemas Kini : 02 Jul 2025 01:23PM
SYDNEY: Sistem cuaca buruk melanda Sydney untuk hari kedua pada Rabu (2 Julai), dengan ribut menyebabkan berpuluh-puluh penerbangan dibatalkan, pokok-pokok tumbang dan bekalan elektrik terputus bagi ribuan rumah di tenggara Australia.

Qantas Airways QAN.AX dan Virgin Australia VGN.AX, iaitu dua syarikat penerbangan terbesar Australia, membatalkan sekurang-kurangnya 55 penerbangan domestik ulang-alik ke Sydney pada Rabu, menurut laman lapangan terbang tersebut.

Beberapa penerbangan antarabangsa turut mengalami kelengahan.

Pihak berkuasa juga menggesa orang ramai untuk mengelakkan perjalanan yang tidak penting.

“Berhati-hatilah. Cuaca sangat buruk di luar sana, jika anda boleh tangguhkan perjalanan, sila berbuat demikian,” kata Ketua Superintendan Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Dallas Burnes kepada ABC News.

Sistem tekanan rendah pesisir pantai, yang digambarkan oleh ahli meteorologi sebagai “taufan bom”, melanda pantai tenggara Australia pada waktu malam dengan tiupan angin melebihi 100 kilometer sejam (kph), menumbangkan pokok dan merosakkan talian kuasa.

Hujan yang turun dalam tempoh enam jam di beberapa kawasan serupa dengan jumlah hujan untuk sebulan.

Fenomena cuaca itu terbentuk dengan pantas dan menyebabkan tekanan udara jatuh dengan ketara dalam tempoh masa yang singkat.

Lebih daripada 35,000 premis di New South Wales, wilayah paling ramai penduduk di Australia, terputus bekalan elektrik selepas ribut pada malam tadi, berdasarkan data gangguan bekalan.

Beberapa jalan di wilayah Illawarra, di selatan Sydney, ditutup akibat banjir dan pokok tumbang.

Perintah pemindahan turut dikeluarkan akibat hakisan pantai di daerah Central Coast, manakala puluhan amaran masih berkuat kuasa berhubung kerosakan akibat angin dan banjir kilat.

Keadaan dijangka bertambah buruk sepanjang Rabu sebelum sistem cuaca tersebut reda dan bergerak ke Laut Tasman, menuju ke New Zealand pada Khamis.

Institut Kebangsaan Penyelidikan Air dan Atmosfera New Zealand menyatakan bahawa sistem tekanan rendah itu boleh membawa hujan lebat dan angin kencang ke North Island negara itu pada Khamis dan berterusan sehingga hujung minggu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita