Ribuan warga Palestin himpun di sempadan Gaza tanda setahun bantahan
Ribuan warga Palestin berhimpun di sempadan antara Gaza dan Israel pada Sabtu (30 Mac) untuk menandakan ulang tahun pertama sejak bermulanya tunjuk perasaan besar-besaran terhadap tentera Israel di sempadan.

Warga Palestin larikan diri dari gas pemedih mata yang dilancar askar Israel di sempadan Gaza pada 30 Mac (Gambar: AFP)
GAZA: Ribuan warga Palestin berhimpun di sempadan antara Gaza dan Israel pada Sabtu (30 Mac) untuk menandakan ulang tahun pertama sejak bermulanya tunjuk perasaan besar-besaran terhadap tentera Israel di sempadan.
Askar-askar Israel melancarkan gas pemedih mata melintasi sempadan dan pihaknya menyatakan sekitar 20,000 penunjuk perasaan melontar batu, bom tangan dan tayar terbakar ke arah mereka.
Para aktivis Palestin berjaket jingga terang cuba menghalang orang ramai dari maju namun sebilangan mereka sampai ke pagar-pagar sempadan.
Anggota perubatan Gaza memberitahu bahawa seorang lelaki Palestin maut akibat serangan Israel sebelum subuh pada Sabtu, berdekatan sempadan. Tentera Israel bagaimanapun menyatakan pihaknya tidak tahu menahu tentang kematian itu dan warga Palestin didakwa melontar bahan letupan ke arah pagar sempadan sepanjang Jumaat malam.
Konfrontasi memuncak minggu ini menjelang acara memperingati bantahan "Perarakan Menuntut Hak Kembali" yang bermula pada 30 Mac 2018. Satu roket yang dilancar dari Gaza mencederakan tujuh warga Israel di timur Tel Aviv pada Isnin dan sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan udara dan meningkatkan kawalan di sempadan.
Keselamatan merupakan satu isu penting menjelang pilihan raya Israel pada April dan cara Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menangani Gaza dijangka dijadikan salah satu isu utama sedang beliau cuba menngekalkan jawatan itu bagi penggal kelima.
Bantahan-bantahan yang diadakan bertujuan menuntut sekatan oleh Israel dan Mesir dimansuhkan, dan supaya rakyat Palestin diberi hak kembali ke kampung halaman mereka setelah keluarga mereka melarikan diri atau diusir sebelum ini, apabila Israel ditubuhkan pada 1948. Israel menolak tuntutan itu atas alasan ia akan melenyapkan status majoriti kaum Yahudi di situ.
Tanggal 30 Mac juga menandakan "Hari Tanah", yang memperingati kematian enam warga Arab Israel yang dibunuh pasukan keselamatan Israel semasa tunjuk perasaan menentang rampasan tanah oleh pemerintah di utara Israel pada 1976.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.