Skip to main content

Dunia

Ribuan sertai bantahan anti-G7 di Geneva

Para penunjuk perasaan membakar sebuah kereta Tesla dan memecahkan tingkap sebuah bank di Geneva pada Ahad (14 Jun) sedang mereka meluahkan kemarahan terhadap Sidang Puncak G7 yang bakal berlangsung di seberang sempadan di Perancis.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan sertai bantahan anti-G7 di Geneva

Longgokan sampah dibakar di atas jalan semasa tunjuk perasaan terhadap Sidang Puncak G7 yang berlangsung pada 14 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Denis Balibouse)

Diterbitkan : 15 Jun 2026 08:48AM
  • Ribuan penunjuk perasaan di Geneva membantah Sidang Puncak G7 dengan membakar kereta Tesla dan memecahkan tingkap bank pada 14 Jun.
  • Bantahan ini bertujuan menentang penumpuan kuasa politik dan ekonomi, serta menyorot isu ketidaksamaan, kapitalisme, dan perubahan iklim.
  • Polis merampas beberapa senjata dan alat piroteknik, serta mengerahkan ratusan anggota antirusuhan untuk mengawal keadaan.
  • Sidang Puncak G7 di Evian-les-Bains, Perancis, dari 15 hingga 17 Jun, dijangka membincangkan konflik global dan isu ketidaksamaan yang dibangkitkan penunjuk perasaan.
Dijana oleh AI
GENEVA: Para penunjuk perasaan membakar sebuah kereta Tesla dan memecahkan tingkap sebuah bank di Geneva pada Ahad (14 Jun) sedang mereka meluahkan kemarahan terhadap Sidang Puncak G7 yang bakal berlangsung di seberang sempadan di Perancis.

Bantahan itu sebahagian besarnya berlangsung secara aman, dengan sehingga 7,000 orang menghadirinya, menurut polis, yang memaklumkan bahawa beberapa pisau dan alat piroteknik turut dirampas.

Para penunjuk perasaan berkata mereka hadir untuk membantah G7 yang dianggap sebagai lambang penumpuan kuasa politik dan ekonomi. Minggu lalu, pemilik Tesla Elon Musk, yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menjadi individu pertama di dunia yang memiliki kekayaan mencecah AS$1 trilion (S$1.28 trilion), sekali gus mencetuskan semula kebimbangan mengenai ketidaksamaan.

"Bagi saya, ini adalah pertemuan golongan kaya yang sekali lagi menunjukkan bagaimana mereka boleh menjadi lebih kaya sedangkan golongan miskin terus ketinggalan," kata penunjuk perasaan Pippa Saugy.

Sidang Puncak G7 yang berlangsung dari 15 hingga 17 Jun di Evian-les-Bains, di tepi Tasik Geneva, akan menghimpunkan para pemimpin Perancis, Britain, Kanada, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat, selain para wakil Kesatuan Eropah (EU).

Peperangan di Timur Tengah dan Ukraine dijangka mendominasi agenda sidang tersebut, dengan para pemimpin lain dijangka akan cuba mengelakkan pertikaian dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang sedang berusaha untuk memuktamadkan rangka kerja perjanjian damai dengan Iran.

Di Geneva, premis-premis perniagaan dipasang dengan papan penutup dan ratusan anggota polis antirusuhan dikerahkan ke jalan raya menyusuli kebimbangan tentang kemungkinan berlaku keganasan. Tunjuk perasaan sering berlaku semasa perhimpunan G7 sejak bertahun-tahun lalu, dengan ramai penunjuk perasaan menggunakan sidang tersebut untuk mengecam kapitalisme, globalisasi, perubahan iklim dan ketidaksamaan.

Mattia Piccard melahirkan rasa tidak senang terhadap kehadiran anggota polis yang ramai.

"Ini adalah percubaan untuk menakut-nakutkan para penunjuk perasaan, menakutkan orang ramai dan menghalang mereka daripada keluar untuk membantah," kata Piccard.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Clélia Colin, berkata beliau mahu mengetengahkan isu ketidaksamaan gender.

"Nilai-nilai yang diwakili G7 sama sekali bersifat misoginis, dan ia menyumbang kepada ketidaksamaan kerana langsung tiada kesaksamaan," kata Colin.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita