Ribuan pesakit Gaza tunggu dipindahkan untuk dapatkan rawatan segera
Beribu-ribu pesakit di Carikan Gaza masih menunggu untuk dipindahkan untuk mendapatkan rawatan segera, kata Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat (28 Ogos). (Gambar: Facebook/Tedros)
- Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, melaporkan ribuan pesakit di Gaza masih menunggu pemindahan untuk rawatan segera.
- Sejak Oktober 2023, lebih 13,000 pesakit dan lebih 16,000 pengiring telah dipindahkan keluar dari Gaza melalui pintu sempadan Rafah dan Kerem Shalom.
- WHO menegaskan akses berterusan ke beberapa laluan sempadan penting untuk memastikan pesakit menerima rawatan tepat pada masanya.
- Serangan Israel menyebabkan ratusan ribu penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, dengan puluhan ribu terbunuh dan cedera sejak konflik bermula.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pada minggu sebelumnya, agensi itu membantu pemindahan 106 pesakit, termasuk 19 kanak-kanak, melalui pintu sempadan Rafah dan Kerem Shalom. Mereka diiringi 132 orang.
Sejak Oktober 2023, seramai 13,237 pesakit, termasuk 6,276 kanak-kanak, bersama 16,406 pengiring dipindahkan keluar dari Gaza, kata Encik Tedros menerusi catatannya di X.
"Pemindahan perubatan memberi peluang kepada mereka yang memerlukan rawatan segera, untuk terus hidup," katanya.
Encik Tedros menegaskan, akses berterusan melalui beberapa laluan pintu sempadan diperlukan bagi memastikan pesakit menerima rawatan perubatan tepat pada masanya.
Tindakan genosid Israel yang berterusan di Carikan Gaza menyebabkan beratus-ratus ribu penduduk tempatan kehilangan tempat tinggal, dengan ramai daripada mereka berlindung di pusat perlindungan sementara dan khemah di seluruh wilayah Palestin itu.
Sejak gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat, lebih 1,300 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 4,000 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sejak Oktober 2023, apabila Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza, lebih 73,400 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 174,400 lagi cedera akibat serangan Israel yang berterusan, kebanyakannya menyasarkan prasarana awam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.