Ribuan penunjuk perasaan di New York bantah serbuan imigresen
Beribu-ribu orang berarak di Bandar New York pada Selasa (10 Jun) bagi membantah dasar imigresen Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menyusuli siri serbuan oleh Jabatan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) yang mencetuskan bantahan di seluruh Amerika.

Para penunjuk perasaan berarak sambil membantah serbuan imigresen oleh ejen ICE pada 10 Jun 2025 di Bandar New York. (Gambar: AFP/Adam Gray)
"Tiada kebencian, tiada ketakutan, pendatang asing dialu-alukan di sini," laung para penunjuk perasaan yang pada awalnya berkumpul di Foley Square, iaitu sebuah dataran di depan bangunan mahkamah di mana bebrapa pendatang asing ditahan oleh pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang pada Jumaat (6 Jun).
Para penunjuk perasaan berarak ke selatan Manhattan sambil membawa sepanduk yang tertera "ICE, keluar dari New York", merujuk kepada polis imigresen persekutuan yang giat menjalankan serbuan bagi memberkas pendatang asing tanpa dokumen sah sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
"Saya hadir untuk memperjuangkan nasib mereka yang tidak mampu bersuara ketika ini, terutama sekali ibu saya," kata seorang wanita yang menyertai bantahan itu kepada AFP.
Beliau memohon agar identitinya tidak didedahkan, memandangkan ibunya adalah seorang pendatang asing dari Mexico yang tidak mempunyai dokumen sah.
“Sejujurnya, negara ini tidak akan menjadi seperti sedia ada tanpa kehadiran para pendatang. Jadi saya mahu perjuangkan untuk mereka,” tambahnya.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Jacqueline, seorang warga Amerika berusia 23 tahun yang berketurunan Mexico, memberitahu AFP: “Saya di sini untuk mempertahankan keluarga saya ... Saya bimbang tentang keselamatan mereka sekarang, dan saya tidak mahu hidup di dalam sebuah masyarakat di mana saya perlu bimbangkan kesejahteraan keluarga saya.”
Tunjuk perasaan di New York pula diadakan secara lebih aman berbanding di Los Angeles, di mana bantahan antara penunjuk perasaan dan polis telah mendorong Encik Trump untuk mengerahkan ribuan anggota Pengawal Negara dan 700 anggota tentera Marin aktif.
Bantahan seperti yang berlaku di Los Angeles "tidak boleh diterima dan tidak akan dibenarkan sekiranya ia berlaku di bandar kita,” kata Datuk Bandar New York, Eric Adams pada Selasa.
Beliau menambah Jabatan Polis New York bersedia “menangani sebarang kemungkinan yang timbul, terutama sekali, sedang kita berdepan perpecahan yang mendalam dalam masyarakat.”
Encik Adams tidak menguatkuasakan perintah berkurung pada Selasa malam di New York, tidak seperti rakan sejawatannya di Los Angeles.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.