Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan pengunjung banjiri Dataran Merdeka sempena Hari Kebangsaan M'sia 2022

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Kerinduan rakyat Malaysia untuk menyambut Hari Kebangsaan yang sudah dua tahun tidak diadakan terubat apabila dapat menyambutnya secara meriah tahun ini. 

Ia dapat dilihat apabila ribuan pengunjung mula membanjiri lokasi sambutan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, seawal pukul 5.00 pagi bagi memeriahkan hari kemerdekaan negara ke-65 itu, lapor Harian Metro. 

Pelbagai lapisan masyarakat membawa sepanduk dan Jalur Gemilang bagi merayakan kemerdekaan negara dengan ada antara mereka mengenakan pakaian melambangkan Malaysia dan bertemakan patriotik.

Dengan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', kira-kira 50,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri sambutan itu dengan menaiki kereta berkuda Diraja dari Menara DBKL ke Dataran Merdeka.

Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa; barisan menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Lebih 16,000 peserta dan lebih 200 aset terbabit dalam acara perbarisan dan perarakan pada sambutan kali ini, lapor Harian Metro. 

Perarakan kontinjen akan bermula dengan pembawa bendera Jalur Gemilang gergasi diikuti dengan 1,000 pembawa Jalur Gemilang dan bendera negeri seterusnya kontinjen dari semua kementerian.

Segmen perarakan akan diteruskan dengan lintasan kontinjen motosikal berkuasa besar, kontinjen Orang Asal diikuti dengan dua unit bas yang membawa wira dan wirawati sukan negara, selain kereta vintaj yang membawa tokoh tempatan dan selebriti serta diiringi kumpulan pancaragam.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan