Skip to main content

Dunia

Ribuan penduduk dipindahkan susuli pertempuran baharu Thailand-Kemboja

Thailand melancarkan serangan udara di sepanjang sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja pada Isnin (8 Dis) sedang kedua-dua pihak saling tuduh menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata yang menghentikan pertempuran awal tahun ini.
Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan penduduk dipindahkan susuli pertempuran baharu Thailand-Kemboja
Para penduduk berehat di sebuah pusat perlindungan susulan pertempuran ketenteraan terbaharu antara Thailand dan Kemboja di beberapa bahagian sempadan yang dipertikaikan, di wilayah Buriram, Thailand, pada 8 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Prajoub Sukprom)
Diterbitkan : 08 Dec 2025 02:56PM
THAILAND: Thailand melancarkan serangan udara di sepanjang sempadan yang dipertikaikan dengan Kemboja pada Isnin (8 Dis) sedang kedua-dua pihak saling tuduh menuduh satu sama lain melanggar gencatan senjata yang menghentikan pertempuran awal tahun ini.

Gencatan senjata itu terjejas pada awal November selepas anggota tentera Thailand cedera akibat periuk api, mendorong Thailand untuk membuat pengumuman bahawa ia akan menggantungkan pelaksanaan perjanjian itu selama tempoh yang tidak ditentukan.

Pertempuran baharu kini memaksa pemindahan para penduduk di sepanjang sempadan di kedua-dua negara.

"Garisan merah" sudah ditetapkan: Hun Sen

Mantan Perdana Menteri Kemboja yang berpengaruh, Hun Sen menggesa pasukan Kemboja supaya sikap berhemah dalam menghadapi apa yang beliau sifatkan sebagai tindakan ganas oleh tentera Thailand.

“Garisan merah untuk bertindak balas sudah ditetapkan. Saya menggesa para komander di semua peringkat untuk mendidik semua pegawai dan anggota tentera mengenainya,” kata beliau dalam satu catatan di Facebook.

Encik Hun Sen ialah bapa kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

PM Malaysia Anwar “amat bimbang” tentang pertempuran

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata beliau “amat bimbang” dengan laporan-laporan berhubung pertempuran bersenjata di kawasan-kawasan sempadan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban atau cedera. Pertempuran yang berulang ini boleh menjejaskan usaha berhati-hati yang telah diusahakan untuk menstabilkan hubungan antara kedua-dua negara jiran itu,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Encik Anwar sebelum ini menyaksikan pemeteraian perjanjian damai Kemboja-Thailand pada Oktober lalu, semasa Malaysia memegang peranan sebagai pengerusi bergilir Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Pada Isnin (8 Dis), beliau menggesa kedua-dua pihak supaya "bertindak dengan setenang mungkin, mengekalkan saluran perhubungan yang terbuka dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme sedia ada”.

Encik Anwar turut menambah bahawa Malaysia bersedia untuk membantu mengembalikan ketenangan dan mengelakkan berlaku kejadian selanjutnya.

“Rantau kita tidak mampu melihat pertikaian lama berlarutan menjadi kitaran konfrontasi. Keutamaan segera adalah untuk menghentikan pertempuran, melindungi orang awam dan kembali ke landasan diplomatik yang disokong undang-undang antarabangsa serta semangat kejiranan yang menjadi asas kepada ASEAN.”

Penduduk dipindahkan

Menurut tentera Thailand, lebih 385,000 orang awam di empat daerah sempadan sedang dipindahkan, dengan lebih 35,000 daripada mereka sudah ditempatkan di pusat-pusat perlindungan sementara.

Dalam pada itu, “ramai penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan sempadan sedang melarikan diri demi keselamatan”, menurut jurucakap pentadbiran wilayah Oddar Meanchey di Kemboja, tempat di mana tembakan turut dilaporkan.

“Thailand tekad pertahankan kedaulatan”: PM Anutin

Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul tampil dalam satu ucapan yang disiarkan televisyen, diiringi ketua tentera darat, tentera udara dan tentera laut Thailand, serta Menteri Pertahanan Jeneral Natthaphon Narkphani.

Beliau berkata kerajaannya akan melaksanakan “tindakan ketenteraan yang perlu” sebagai respons terhadap Kemboja.

Thailand “tidak pernah mahukan keganasan”, dan tidak pernah “memulakan atau melakukan sebarang tindakan ganas”, kata Encik Anutin.

Namun, beliau berkata negara itu akan membulatkan “tekad dengan sepenuhnya untuk melindungi kedaulatan negara dan keutuhan wilayahnya.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita