Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan penduduk di Lumut beratur beli beras 5kg pada harga RM1

Anggaran Waktu Membaca:
LUMUT: Ribuan penduduk di Lumut, Perak, sanggup beratur panjang untuk membeli beras putih import yang dijual dengan harga RM1 (S$0.30) sekampit seberat 5 kilogram, yang diadakan di Padang Kampung Kamaruddin, di Lumut pada Ahad (24 Sep).

Program Misi Jual Beras RM1 yang bermula pada pukul 9.30 pagi itu, hanya mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja untuk terjual sepenuhnya.

Bagi suri rumah, Siti Nordiana Kassim, 25 tahun, dari Taman Samudera, berkata beliau sanggup beratur seawal pukul 6.00 pagi untuk membeli beras itu yang dimaklumkan mengenai penjualan beras tersebut daripada jirannya.

"Ini memang peluang yang tidak pernah saya dapat. Saya bersama jiran datang ke sini awal pagi sebab tidak mahu terlepas untuk membelinya," katanya ketika ditemui pemberita.

Seorang warga emas, Halijah Kassim, 65 tahun, dari Kampung Datuk Seri Kamaruddin, juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan beras tersebut dan mula beratur di situ sejak 7.00 pagi.

"Pada mulanya, ingatkan program ini penipuan sahaja sebab tak pernah mana-mana pihak jual beras hanya RM1 (S$0.30). Namun, apabila ketua kampung menguar-uarkan dalam kumpulan WhatsApp, baru mak cik percaya.

"Program beli beras RM1 (S$0.30) ini patut diadakan lebih kerap kerana sekarang harga beras pun naik mendadak, jadi dapat jugalah mengurangkan perbelanjaan dapur," katanya.

Suraya Ibrahim, 42 tahun, dari Kampung Ayer Tawar berkata pembelian beras RM1 (S$0.30) benar-benar memberi kelegaan kepada dirinya yang membelanjakan kira-kira RM50 (S$15) untuk pembelian beras sahaja bagi keperluan keluarganya.

"Walaupun hanya dapat beli sekampit beras sahaja dapat juga meringankan beban perbelanjaan bulanan keluarga yang ditanggung sepenuhnya oleh suami," kata ibu kepada dua orang anak itu.

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Misi Rakyat menyediakan sebanyak 1,000 kampit beras lima kilogram dan turut menyumbangkan 120 kampit beras seberat lima kilogram kepada golongan asnaf, warga emas dan ibu hamil yang terpilih.

Sementara itu, pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berkata program penjualan beras putih import jenama SITI itu pertama kali dilaksanakan pihaknya dan Program Misi Jual Beras RM1 itu akan dijayakan di Kedah pada Selasa (26 Sep) ini.

"Kami melaksanakan program sebegini kerana mahu membantu golongan kurang berkemampuan membeli beras memandangkan makanan ruji itu meningkat harga begitu mendadak ketika ini.

"Kami juga berharap program ini dapat dilaksanakan di seluruh negara sekiranya ada pihak yang sudi menyumbangkan bagi pembelian beras ini," katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan