Skip to main content

Dunia

Ribuan pelajar, kumpulan sivil terus berhimpun meski kawalan diperketat di Indonesia

Ribuan pelajar Indonesia masih berhimpun di bandar-bandar utama Indonesia pada Isnin (1 Sep), selepas lapan orang maut dalam rusuhan-rusuhan ganas sejak beberapa hari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan pelajar, kumpulan sivil terus berhimpun meski kawalan diperketat di Indonesia

Coretan grafiti bertulis "polisi pembunuh" kelihatan ketika kumpulan sivil dan para pelajar mengadakan tunjuk perasaan di Makassar pada 1 September 2025. (Gambar: AFP/Daeng Mansur)

JAKARTA: Ribuan pelajar Indonesia masih berhimpun di bandar-bandar utama Indonesia pada Isnin (1 Sep), selepas lapan orang maut dalam rusuhan-rusuhan ganas sejak beberapa hari lalu.

Di Jakarta, sekurang-kurangnya 500 penunjuk perasaan dilihat berkumpul di luar bangunan parlimen, sementara ribuan lagi kelihatan di Palembang, Banjarmasin, Yogyakarta dan Makassar.

Perhimpunan di Makassar berlaku berhampiran bangunan Parlimen tempatan yang musnah terbakar pada Jumaat lalu.

Kenyataan Presiden Prabowo Subianto pada Ahad, untuk memansuhkan elaun dan keistimewaan Ahli Parlimen atau DPR Indonesia, nampaknya tidak memenuhi tuntutan para pelajar dan masyarakat sivil.

Menurut pemimpin kumpulan pelajar dari Universiti Negeri Makassar, Encik Syamry, para pelajar juga mempunyai tuntutan lain yang lebih mendalam, seperti reformasi menyeluruh dalam pasukan polis Indonesia.

Bantahan antipemerintah dan keganasan yang tercetus menjejas pasaran kewangan, dengan pasaran saham Indonesia jatuh lebih tiga peratus dalam dagangan pembukaan pada pagi Isnin.

Awal dari itu, sesetengah kumpulan pelajar dan masyarakat sivil Indonesia membatalkan rancangan untuk mengadakan lagi tunjuk perasaan pada Isnin.

Menurut mereka, keadaannya tidak mengizinkan disebabkan kawalan keselamatan yang amat ketat.

Namun sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan keselamatan Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan di bangunan-bangunan pemerintah dan parlimen sejak Ahad malam.

Pihak polis juga menguatkuasakan sekatan-sekatan jalan raya di seluruh Jakarta pada Isnin.

Para pegawai polis dan kakitangan tentera juga dilapor menjalankan rondaan dan menempatkan penembak tepat di lokasi-lokasi utama.

Bagaimanapun pada pagi Isnin, orang ramai kelihatan sibuk seperti biasa sejak awal pagi untuk ke tempat kerja.

Stesen-stesen MRT yang terjejas oleh kerosakan akibat bantahan ganas minggu lalu di Jakarta, juga dibuka semula seperti biasa.

Sementara itu, angka korban akibat rusuhan yang meletus di beberapa bandar Indonesia, meningkat kepada lapan orang setelah seorang lagi pelajar universiti berusia 21 tahun disahkan maut.

Universiti Amikom Yogyakarta mengesahkan kematian pelajarnya Rheza Sendy Pratama dalam bantahan yang bertukar ganas.

Bagaimanapun keadaan sekitar kematiannya masih belum jelas.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita