Ribuan jemaah tinggalkan kota Makkah setelah selesai ibadah Haji
Ribuan jemaah mula meninggalkan Makkah pada Jumaat (29 Mei) setelah selesai menunaikan ibadah Haji di tengah-tengah cuaca panas dan dibayangi perang di Timur Tengah.
Para jemaah melontar jamrah di Mina. (Gambar: AP)
This audio is generated by an AI tool.
Tahun ini, lebih 1.7 juta jemaah dari 165 negara menunaikan ibadah Haji.
Sejak perang meletus pada Februari lalu, Tehran bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan dron dan peluru berpandu, menyasarkan infrastruktur dan kemudahan tenaga di seluruh wilayah Teluk, termasuk Arab Saudi, di mana terletaknya Makkah.
Lebih 30,000 rakyat Iran melakukan perjalanan ke Makkah, kira-kira sepertiga daripada jumlah yang dijangkakan pada awalnya.
Agensi media tempatan di Iran, IRNA menyatakan "situasi peperangan" menyumbang kepada jumlah yang merosot itu.
"Saya tidak percaya bahawa saya selesai mengerjakan ibadah Haji," kata Ahmed Mamdouh, seorang warga Mesir berusia 37 tahun yang menunaikan Haji untuk kali pertama.
Sambil menahan air mata beliau menambah: "Saya sangat gembira kerana dapat mengerjakan Haji dengan selamat. Haji benar-benar meletihkan, terutamanya di tengah-tengah cuaca terik sebegini."
Seorang lagi jemaah Haji dari Algeria, Al-Zaoui, 74 tahun, memeluk isterinya sambil berkata: "Ia adalah impian kami untuk menunaikan Haji bersama-sama. Kini impian itu dapat ditunaikan selepas 50 tahun kami melayari bahtera perkahwinan."
Pada Jumaat, para jemaah meneruskan ibadah melontar jamrah di Mina buat hari ketiga.
Mereka kemudian akan menaiki bas ke Masjidil Haram di Makkah untuk bertawaf.
Haji yang merupakan salah satu daripada lima rukun Islam, harus dikerjakan sekurang-kurangnya sekali oleh setiap orang Islam yang berkemampuan.
Ia melibatkan beberapa siri ibadah yang kebanyakan dilakukan di luar bangunan dan di tengah-tengah cuaca panas pada tahun ini.
Setelah lebih 1,300 orang maut semasa mengerjakan Haji pada 2024, apabila suhu melonjak lebih 50 darjah Selsius, pihak berkuasa Saudi memperkenalkan langkah-langkah mitigasi termasuk lebih banyak kawasan teduh dan kerahan ribuan lagi pekerja kesihatan tambahan.
Bulan Sabit Merah Saudi menyatakan pada Khamis ia menyediakan khidmat kecemasan kepada "lebih 83,000 orang sejak permulaan musim Haji".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.