Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan jemaah haji Indonesia selamat tiba di Saudi; masih bimbang berlaku penularan

Ribuan jemaah Indonesia sudah tiba di Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
JAKARTA: Ribuan jemaah Indonesia sudah tiba di Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Ini sekali gus menandakan kembalinya jemaah dari luar Saudi sejak pandemik COVID-19 melanda dua tahun lalu.

Namun, hasil tinjauan BERITAmediacorp mendapati ramai yang masih berasa bimbang untuk berangkat ke tanah suci.

Antara mereka adalah penduduk ibu kota Jakarta, Ahmad Daud.

Beliau yang berusia 50 tahun akhirnya berjaya untuk ke Makkah setelah menunggu selama 12 tahun.

BELUM BEBAS KORONAVIRUS

Encik Ahmad yang pergi seorang diri, berbelah bagi tentang perjalanannya itu tetapi mendapat sokongan daripada keluarganya yang mengiringi keberangkatan beliau.

"Saya sangat terharu sekali kerana bangga dan ada juga rasa sedih kerana haji itu perjalanan yang berat. Jadi saya mohon doa kepada keluarga, kerabat saudara, terutama kedua orang tua, semoga perjalanan ini mendapatkan keselamatan dan keberkahan dari Allah," ujar beliau.

Ibadah haji tahun ini berjalan di bawah bayangan COVID-19 meskipun penularannya telah berkurangan di Saudi serta di pelbagai lagi belahan dunia, termasuk Indonesia.

Ini mendorong kerajaan Saudi untuk menarik balik larangan ke atas jemaah luar negara.

Seorang lagi jemaah Indonesia Desy Aryani berkata: "Tetap kita menjaga protokol kesihatan, pakai pelitup, walaupun katanya sudah bebas koronavirus tetapi kita tetap berjaga-jaga. Tiap hari juga kita bersenam, pagi beli minum vitamin, biar semuanya kuat fizikalnya, mentalnya, kuat hatinya juga."

PROTOKOL BARU HAJI JEJAS SEBILANGAN JEMAAH

Pusat Keberangkatan Haji Pondok Gede di Jakarta Timur merupakan satu daripada lima pusat di Indonesia.

Selain visa haji, jemaah juga perlu menyerahkan hasil ujian COVID-19 yang negatif.

Ujian itu perlu diambil dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat.

Jemaah haji kemudian akan tinggal di asrama itu selama sehari sebelum bertolak ke lapangan terbang.

Di pusat berkenaan, mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan terakhir dan diberikan gelang identiti diri.

Jemaah haji juga akan diberikan wang sebanyak 1,500 riyal iaitu kira-kira AS$400 (S$556) untuk menampung kos perbelanjaan hidup mereka di Saudi nanti.

Indonesia mendapat kuota sekitar 100,000 jemaah haji untuk tahun ini.

Kurang separuh daripada kuota tahunan yang diberikan Riyadh sebelum pandemik melanda.

"Tentu situasinya tidak mudah kerana semuanya serba harus dipadatkan. Waktunya pendek sekali untuk persiapan, yang biasanya lima hingga enam bulan, sekarang semua negara harus mempersiapkan keberangkatan haji dengan waktu hanya 40 hari.

"Dan Indonesia secara khusus, tentu saja juga harus bekerja keras kerana jumlah jemaahnya terbesar di dunia," kongsi Ketua Pengarah Pengurusan Haji dan Umrah Kementerian Ehwal Agama Indonesia Hilman Latiff.

PEMAIN INDUSTRI YAKIN PELONGGARAN LANJUT DIJANGKAKAN

Pengagihan kuota haji mengutamakan jemaah yang mendaftar pada 2020 dan 2021 tetapi tidak berangkat kerana pandemik.

Namun, tidak semuanya bernasib baik termasuk Giman Sutorjo, 74 tahun.

Beliau terpaksa menunggu lagi buat tahun ketiga, memandangkan hanya jemaah yang berusia bawah 65 tahun diterima pihak Saudi.

"Harapan saya mudah-mudahan dari negara Arab mahupun Indonesia bersetuju akan berubah kerana peraturan inikan peraturan manusia. Mudah-mudahan ke depannya ada perbaikan," katanya kepada BERITAmediacorp.

Mereka yang terlibat dengan industri tersebut yakin kerajaan Saudi akan melonggarkan batas usia sedia ada.

Pengerusi Lembaga Pengarah Persatuan Penganjur Haji dan Umrah Indonesia Hafidz Taftazani: "Kerajaan Arab Saudi juga tidak serta-merta buka. Mereka sangat berhati-hati.

"Kita pasti menganggap mereka tidak ingin Saudi nanti menjadi satu tempat penularan COVID-19 atau penyakit apapun di peringkat antarabangsa kerana ini tentu mengambil risiko yang sangat besar."

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam dan bagi ramai penganutnya, titik kemuncak dalam kehidupan beragama.

Pak Giman kini menumpukan perhatiannya untuk kekal sihat. Beliau sedia menunggu dengan sabar, serta berharap agar satu hari nanti, dapat turut serta berangkat ke tanah suci.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan