Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ribuan ikan mati di Danau Maninjau angkara cuaca ekstrem & kerakusan manusia

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Beribu-ribu ikan mati di Danau Maninjau di Sumatera Barat, Indonesia sejak beberapa minggu kebelakangan ini. 

Ini sekali gus menarik perhatian kepada isu alam sekitar dan juga manusia yang disifatkan sebagai faktor yang menyumbang kepada masalah selama sedekad itu.

Pada Disember, lebih 1,700 tan ikan ditemui mati di danau tersebut yang terletak sekitar 115 kilometer dari Padang, ibu kota Sumatera Barat, menurut pihak berkuasa. 

Encik Handria Asmi, ketua daerah Tanjung Raya di mana danau yang indah itu terletak, mengatakan bahawa cuaca ekstrem yang tidak dijangkakan akibat perubahan iklim mungkin adalah antara punca yang menyebabkan ikan-ikan mati pada jumlah yang begitu banyak itu.

"Dari November hingga Februari, kami sentiasa mengalami cuaca ekstrem di Tanjung Raya, khususnya angin kencang dan hujan lebat yang kadangkala menyebabkan tanah runtuh dan kematian ikan. 

"Kematian ikan berlaku apabila angin sampai ke danau ini dan mengubah jisim air danau," kata Encik Asmi kepada Mediacorp. Apabila jisim air berubah, air yang lebih padat akan naik ke permukaan danau. 

Encik Asmi turut mendedahkan bahawa kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia menunjukkan bahawa cuaca ekstrem mungkin bukan punca utama di sebalik fenomena tersebut. 

Beliau sebaliknya bertanggapan kegiatan-kegiatan manusia termasuk penangkapan ikan berlebihan dan memberi makanan berlebihan kepada ikan sehingga menyebabkan pencemeran air mungkin turut menyumbang kepada kematian ikan-ikan di danau tersebut.

"Sekarang ini, danau kami tercemar, salah satu sebabnya ialah ia dicemari oleh makanan ikan. Apabila angin kencang, makanan ikan terbalik, dan oksigen di dalam air berkurangan dan oleh itu, ikan-ikan mengalami kekurangan oksigen," kata Encik Asmi. 

Selain itu, Danau Meninjau juga merupakan sebuah tasik gunung berapi dan kehadiran sulfur turut menyumbang kepada kematian ikan-ikan itu, tambahnya.

Pihak berkuasa tempatan sudahpun mengambil langkah-langkah untuk memastikan masalah ini tidak berulang, termasuk menguatkuasakan peraturan-peraturan yang lebih ketat terhadap kegiatan menangkap ikan di danau tersebut. 

Para pakar yang diwawancara oleh Mediacorp percaya bahawa jika tiada tindakan konkrit dilaksanakan dengan pantas untuk menyelesaikan masalah itu, insiden ikan mati pada jumlah yang sangat besar akan terus berlaku dan akan merosakkan alam sekitar. 

CUACA EKSTREM & TANGKAPAN IKAN BERLEBIHAN 

Kematian ikan secara besar-besaran menjadi masalah berulang di Danau Maninjau sejak lebih sedekad yang lalu disebabkan oleh peningkatan pada jumlah kegiatan menangkap ikan, khususnya penternakan ikan menggunakan sangkar jaring terapung. 

Encik Tommy Adam, ketua aktivis WALHI, sebuah pertubuhan alam sekitar bukan pemerintah di Sumatera Barat, mengatakan para penduduk yang menetap berhampiran Danau Maninjau yang dahulu adalah petani padi sudah beralih kepada menangkap ikan pada awal 1990-an. 

Ramai daripada mereka menggunakan sangkar jaring untuk menternak ikan.

"Mereka agak berjaya kerana dapat menangkap banyak ikan nila dan ikan-ikan tilapia yang lain," kata Encik Adam. 

Beliau turut menarik perhatian bahawa terdapat kira-kira 27,000 sangkar ikan di danau tersebut walaupun peraturan yang dikuatkuasakan hanya membenarkan sekitar 7,000 sangkar sedemikian setelah mengambil kira saiz Danau Maninjau seluas 99.5 kilometer persegi. 

Usaha pihak berkuasa untuk mengawal kaedah menangkap ikan sedemikian tidak berhasil kerana ramai penduduk bergantung kepada kegiatan menangkap ikan untuk menyara kehidupan mereka. 
 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan