Skip to main content

Dunia

Ribuan dijangkiti penyakit bakteria susuli kebocoran di makmal China

Ribuan penduduk di bahagian barat laut China diuji positif bagi sejenis penyakit bakteria menyusuli kebocoran sebuah kilang biofarmaseutikal milik negara tahun lalu, yang menghasilkan vaksin haiwan.

Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan dijangkiti penyakit bakteria susuli kebocoran di makmal China

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 18 Sep 2020 10:17PM Dikemas Kini : 18 Sep 2020 10:20PM

BEIJING: Ribuan penduduk di bahagian barat laut China diuji positif bagi sejenis penyakit bakteria menyusuli kebocoran sebuah kilang biofarmaseutikal milik negara tahun lalu, yang menghasilkan vaksin haiwan.

Pihak berkuasa kesihatan di bandar Lanzhou berkata 3,245 orang dijangkiti bruocellosis, iaitu sejenis penyakit yang lazimnya disebabkan oleh kontak rapat dengan haiwan atau produk haiwan yang dijangkiti bakteria tersebut. Pesakit akan mengalami demam, sakit sendi dan pening kepala.

Lagi 1,401 orang diuji positif lebih awal bagi penyakit itu dan pihak berkuasa mengatakan tiada bukti berlaku jangkitan antara manusia sejauh ini.

Pihak berkuasa China mendapati sebuah kilang biofarmaseutikal menggunakan bahan pembasmi kuman yang sudah lepas tarikh luput untuk menghasilkan vaksin Brucella bagi haiwan antara Julai dengan Ogos tahun lalu - bermakna bakteria itu tidak dihapuskan dalam sistem ekzos kilang tersebut.

Gas tercemar bakteria yang dihasilkan oleh Kilang Biofarmaseutikal Lanzhou Penternakan Haiwan China di Lanzhou itu kemudian terlepas di udara lalu ditiup angin ke arah Institut Kajian Veterinar Lanzhou, menjangkiti hampir 200 orang di sana sejak Disember tahun lalu.

Lebih daripada 20 pelajar dan kakitangan di Universiti Lanzhou, sebilangan mereka yang mengunjungi institut berkenaan, turut diuji positif, menurut agensi berita Xinhua.

Suruhanjaya Kesihatan Lanzhou menyatakan pada Jumaat (18 Sep) bahawa kambing biri-biri, lembu dan babi lazimnya terjejas oleh penularan bakteria berkenaan.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, jangkitan dari manusia ke manusia "jarang berlaku" namun beberapa gejala penyakit brucellosis mungkin timbul semula atau tidak hapus sama sekali.

Ini termasuk demam berulang, ras letih yang teruk, bengkak jantung atau radang sendi.

Kilang itu - yang memohon maaf pada awal tahun ini - dibatalkan lesen untuk menghasilkan vaksin brucellosis, menurut pihak berkuasa Lanzhou.

Bayaran pampasan kepada pesakit akan mula diberikan secara bertahap-tahap mulai Oktober ini, menurut pihak berkuasa tempatan.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita