Skip to main content

Dunia

Ribuan berkabung susuli serangan bom nekad di Islamabad; 4 orang ditahan

Ribuan orang yang berkabung berkumpul di Islamabad pada Sabtu (7 Feb) untuk memulakan proses pengebumian bagi 32 mangsa yang terbunuh dalam satu serangan bom nekad di sebuah masjid Syiah semasa solat Jumaat, sedang bandar itu memperketatkan kawalan keselamatan.
Anggaran Waktu Membaca:
Ribuan berkabung susuli serangan bom nekad di Islamabad; 4 orang ditahan
Orang ramai di sisi keranda ahli keluarga mereka yang terkorban dalam serangan bom nekad pada Jumaat di dalam sebuah masjid Syiah, di Islamabad, Pakistan, pada Sabtu, 7 Februari 2026. (Gambar AP/Anjum Naveed)
Diterbitkan : 08 Feb 2026 08:38AM
ISLAMABAD: Ribuan orang yang berkabung berkumpul di Islamabad pada Sabtu (7 Feb) untuk memulakan proses pengebumian bagi 32 mangsa yang terbunuh dalam satu serangan bom nekad di sebuah masjid Syiah semasa solat Jumaat, sedang bandar itu memperketatkan kawalan keselamatan. Pada masa yang sama, pihak berkuasa menahan empat individu yang dipercayai membantu pengebom berkenaan.

Dalam serangan yang berlaku pada Jumaat, seorang lelaki melepaskan tembakan di kawasan kompleks Imambargah Khadija Tul Kubra di pinggir ibu negara Pakistan sebelum meletupkan bom yang mengorbankan 32 orang, termasuk dirinya, dan mencederakan lebih 170 yang lain.

Kumpulan ISIS mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, yang paling dahsyat seumpamanya di Islamabad dalam tempoh lebih sedekad, menerusi satu kenyataan di aplikasi Telegram.

Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi berkata dalam satu sidang media bahawa empat individu, termasuk dalang yang didakwa merancang serangan itu, sudah ditahan menyusuli satu operasi di Peshawar dan Nowshera. Dalam operasi berkenaan, seorang pegawai antipengganasan terbunuh manakala tiga lagi cedera, kata beliau.

“Serangan nekad semalam telah mengejutkan kami,” tambahnya.

Walaupun pengeboman jarang berlaku di Islamabad yang dikawal dengan ketat, ini merupakan serangan kedua seumpamanya dalam tempoh tiga bulan dan - memandangkan peningkatan kegiatan kumpulan bersenjata kebelakangan ini - ia mencetuskan kebimbangan tentang kembalinya keganasan di pusat bandar utama Pakistan itu.

Kawalan keselamatan dipertingkatkan dengan ketara di seluruh bandar, dengan sekatan polis diadakan di semua jalan utama dan laluan menuju ke lokasi-lokasi penting. Polis dan komando elit berkawal semasa solat jenazah bagi sebahagian mangsa diadakan di kawasan terbuka berhampiran Imambargah.

Pemerintah sudah meningkatkan tahap keselamatan di Islamabad dan akan mengambil langkah lanjut untuk memastikan ia “benar-benar berkesan”, kata Menteri Penerangan Attaullah Tarar.

ORANG RAMAI BERKABUNG DI UPACARA PENGEBUMIAN

Golongan Syiah Islam merupakan minoriti dalam negara yang majoritinya berhaluan Sunni, dengan populasi 241 juta orang, dan sebelum ini pernah menjadi sasaran keganasan berunsur mazhab, termasuk oleh kumpulan ISIS dan kumpulan bersenjata Sunni Tehreek-e-Taliban Pakistan.

Ribuan orang menghadiri pengebumian beramai-ramai itu, yang berakhir dengan para hadirin menepuk dada sebelum membongkok lalu mengangkat 20 keranda untuk dibawa ke tempat persemadian. Ramai antara mereka menangis teresak-esak.

“Sesiapa yang melakukan pengganasan ini, semoga Tuhan membakar mereka di neraka dan menjadikan mereka abu,” kata imam yang memimpin upacara pengebumian tersebut, Hussain Muqaddasi, kepada para hadirin.

Ashiq Hussain, yang kehilangan anak saudaranya Mujtaba Ali berusia 21 tahun dalam serangan itu, berkata keluarganya “hancur”.

“Saya mahu bertanya apakah dosa yang dilakukan anak muda ini sehingga dia mati dengan sia-sia,” tambahnya.

Ajmal Rahbar, seorang pelajar di Institut Teknologi Maklumat COMSATS, berkata dua rakan sekelasnya terkorban dalam letupan itu.

“Mereka terlalu muda untuk mati,” kata beliau.

Solat jenazah turut diadakan bagi dua lagi mangsa di bandar Dera Ismail Khan pada Sabtu.

Para mangsa yang cedera, sebahagiannya dalam keadaan kritikal, masih dirawat di hospital-hospital di Islamabad. Yaqoob Bangash, seorang pegawai di hospital awam terbesar di Islamabad, berkata pembedahan besar sudah dijalankan dan hospital kini beralih kepada pembedahan kecil.

Bangash, yang bertugas di Pakistan Institute of Medical Sciences, berkata hospital itu mempunyai sumber yang mencukupi untuk menangani kemasukan pesakit menyusuli serangan tersebut.

PASUKAN KESELAMATAN TERUSKAN SERBUAN

Pengebom itu mempunyai sejarah perjalanan ke Afghanistan, kata Menteri Pertahanan Khawaja Asif dalam satu catatan di X pada Jumaat, sambil menyalahkan negara jiran India kerana menaja serangan tersebut, tanpa mengemukakan bukti.

Kementerian Luar India mengecam serangan ke atas masjid itu dan menolak dakwaan pelibatannya sebagai “tidak berasas”.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita