Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Rezeki COVID-19: Dari lukis atas kanvas ke hasil seni di atas pasu

Selain melukis di atas kanvas, kreativiti Noura AR atau nama sebenarnya, Cik Noor Aishah Abdul Rahman, 56, juga dapat dilihat di atas pasu.

Anggaran Waktu Membaca:
Rezeki COVID-19: Dari lukis atas kanvas ke hasil seni di atas pasu

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Oct 2020 11:26PM Dikemas Kini : 31 Oct 2020 11:30PM

KUALA LUMPUR: Selain melukis di atas kanvas, kreativiti Noura AR atau nama sebenarnya, Cik Noor Aishah Abdul Rahman, 56, juga dapat dilihat di atas pasu.

Menurutnya, sekiranya seseorang itu sudah mahir dalam menghasilkan lukisan kanvas, melukis di atas pasu tidak akan menjadi masalah besar disebabkan proses penghasilannya tetap sama.

“Saya mula melukis sejak tahun 1982. Bagaimanapun, melukis di atas pasu hanya bermula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas dan berterusan hingga ke hari ini.

“Asalnya, tujuan saya adalah untuk mengisi masa lapang selain mencuba sesuatu yang baru namun siapa sangka ia mendapat permintaan tinggi selepas saya berkongsi hasil karya di Instagram menerusi label potluxbynoura,” katanya kepada Bernama.

Bercerita lanjut, Cik Noor Aishah yang berasal dari Teluk Intan, Perak memberitahu hanya pasu jenis terra cotta yang digunakan kerana sifatnya persis kanvas selain mudah menyerap.

“Saya menerima tempahan dari pelbagai saiz dengan setiap rekaan di atas pasu dibuat secara masterpiece (karyatama) sekali gus menjadikan ia bersifat eksklusif buat setiap pelanggan yang membelinya.

“Harganya pula bermula dari RM20 (S$6.60) hingga RM200 (S$65.80)bergantung kepada saiz pasu, rekaan, warna dan masa yang diambil untuk disiapkan,” katanya yang hanya menerima tempahan di sekitar Lembah Klang buat masa ini.

Dalam pada itu, biarpun melukis di atas medium berbeza, Cik Noor Aishah mengakui ia memberi kepuasan kerana melukis di atas pasu lebih memberi ‘fungsi’ berikutan penyampaian hasil seni dapat sampai sehingga ke peringkat paling bawah.

“Lukisan atas kanvas, hanya digantung pada dinding dan kebanyakannya berkonsep untuk menghayati sahaja tetapi melukis atas pasu ini, ia digunakan maksudnya ia berfungsi untuk pelbagai keadaan.

“Ia bukan sahaja digunakan sebagai pasu bunga, tetapi ada juga yang membuatkannya sebagai barang perhiasan atau cenderahati selain harganya yang mampu milik,” katanya yang turut dibantu suaminya, Encik Mohamed Akif Emir Ahmad Teruki, 59, yang juga merupakan pelukis profesional.

Berkongsi hala tujunya, Cik Nora Aishah turut mengajak mana-mana pelukis lain terutama mereka yang terjejas akibat penularan COVID-19, sama-sama menyertainya sekali gus berpeluang mengembangkan bakat seni masing-masing.

Katanya, mereka yang mempunyai kemahiran berkenaan mampu menjana pendapatan sampingan memandangkan permintaan terhadap hasil karya tersebut kini semakin meningkat.

“Saya mahu mereka (pelukis) datang berjumpa dengan saya dan suami kerana kami akan memberi ‘jalan’ bagaimana ingin melakukannya.

“Rezeki dalam bidang ini sangat luas. Saya dan suami juga tidak menang tangan dalam memenuhi permintaan pelanggan,” katanya, menambah pasaran lukisan di atas pasu di negara luar seperti Mexico dan Amerika Syarikat adalah luas namun masih baru buat Malaysia.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan